HAMZAH (tengah) menerima cenderamata daripada Chandran.
Oleh Hafiz Ithnin
hafizithnin@mediaprima.com.my

Kuala Lumpur: Bank Kerjasama Rakyat (Malaysia) Berhad (Bank Rakyat) mengunjurkan peningkatan 10 peratus pelanggan baru bagi Kad Kredit-i dan Debit-i pada tahun depan berbanding dengan jumlah ketika ini iaitu masing-masing 360,000 dan 130,000 dengan bersandarkan kepada pengenalan pelbagai program promosi.

Antara aktiviti lain yang boleh membantu meningkatkan jumlah pelanggan baru kad kredit dan debit Bank Rakyat adalah menerusi kerjasama strategik bersama syarikat lain yang menawarkan pelbagai perkhidmatan atau produk kepada pelanggannya.

Menteri Perdagangan Dalam negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, Bank Rakyat mengadakan kerjasama dengan syarikat penerbangan hibrid, Malindo Air yang membolehkan pemegang Kad Kredit-i dan Debit-i menikmati pakej percutian serta tiket penerbangan dengan pakej tawaran harga istimewa.

Beliau berkata, kerjasama itu mampu mempelbagaikan perkhidmatan ditawarkan kepada pelanggan dan peluang terbaik untuk mengukuhkan jenama bank berkenaan.

“Perkara utama yang menjadi perhatian dalam kerjasama ini adalah pemegang kad boleh menikmati potongan harga 20 peratus bagi pakej percutian Malindo iaitu tiket penerbangan dan hotel bagi tempahan menerusi agensi pelancongan Bank Rakyat hingga Jun 2015.

“Tawaran istimewa ini yang bemula sejak 1 November lalu sehingga 31 Disember 2016 turut menawarkan skim ansuran mudah pada kadar sifar caj keuntungan,” katanya pada majlis kerjasama Bank Rakyat dan Malindo Air di sini, semalam.

Menerusi kerjasama itu juga, pelanggan berpeluang mendapat dua tiket kelas perniagaan dengan satu harga saja bermula 1 Febuari hingga 30 April 2016.

Turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif Malindo Air, Chandran Rama Muthy yang turut mengumumkan pemegang kad platinum Bank Rakyat boleh menggunakan lounge syarikat penerbangannya di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (klia2).

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 4 Disember 2015 @ 5:48 AM