Oleh Mohd Sabran Md Sani
sab@hmetro.com.my


Muar: Penjawat awam dihadapkan ke Mahkamah Majistret, hari ini atas tuduhan membunuh kerani wanita sekolah agama di Bukit Pasir, Muar, di sini, bulan lalu.

Tertuduh, Zurailie Muhamad, 30, bagaimanapun hanya mengangguk faham atas pertuduhan yang dibacakan jurubahasa mahkamah di hadapan Majistret Mohd Syafiq Mustaza.

Tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh.

Berdasarkan kertas pertuduhan, Zurailie didakwa membunuh Nurul Shahira Mohamed Yatim, 29, di rumah di Taman Setia Kasih,Sungai Terap,di sini, antara 2.05 hingga 2.30 petang, 16 November lalu.

Dia didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwaraya A Shaarmini manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Mohd Syafiq kemudian menetapkan 5 Januari depan untuk sebutan semula kes.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 3 Disember 2015 @ 12:51 PM
ANGGOTA polis membawa tertuduh ke Mahkamah Majistret Muar. FOTO Syarafiq Abd Samad