SENIWATI Mariani.
BERSAMA seniwati Datuk Sarimah.
PRIMADONA Studio Jalan Ampas.
BERSAMA anak bongsunya Melissa Saila.
Oleh Ridzuan Abdul Rahman
mohamadridzuan@hmetro.com.my


Tepat jam 7.32 malam kelmarin, pergi lagi sebutir bintang yang digilap ketika era gemilang filem Melayu di Studio Jalan Ampas, Singapura.

Seniwati Mariani atau nama sebenarnya Siti Mariam Ismail meninggal dunia pada usia 82 tahun di Sentul, Kuala Lumpur akibat kanser usus.

Ketika hayatnya, beliau jarang sekali gagal menghadirkan diri dalam mana-mana majlis bagi menghargai atau memberi sumbangan terhadap golongan artis terutama dari era filem hitam putih pada 1950-an.

Bagaimanapun, Mariani bukan seorang yang meminta-minta atau mengharapkan belas ihsan orang lain, sebaliknya beliau dikenali sebagai insan yang aktif bekerja meskipun kian dipanjat usia.

Cuma sebagai anak seni sejati, hatinya begitu tersentuh apabila ada pihak yang tidak memandang sumbangan anak seni terhadap pembangunan negara.

Dulu, Mariani dan rakan seangkatannya menjadi mata dan telinga kerajaan bagi menyampaikan maklumat penting kepada rakyat menerusi persembahan yang diadakan di seluruh pelosok tanah air.

Biarpun hidupnya sederhana, Mariani juga tidak kedekut membantu golongan masyarakat yang dilanda musibah.

Menerusi program Jelajah Jualan Amal Selebriti anjuran Trans Malaya Borneo di Selayang Mall, Selangor pada 4 hingga 6 September lalu, Mariani turut melelong 30 pakaian koleksi peribadinya dan sebahagian hasil kutipan jualan diagihkan kepada tabung bantuan yang disediakan.

Bercerita mengenai peribadinya, Mariani yang berasal dari Tanjung Pagar, Singapura aktif berlakon sejak berusia 17 tahun selepas memenangi pertandingan Ratu Cantik Singapura pada 1951.

Ketika itu beliau antara gadis tercantik Singapura.

Sebelum bergelar pelakon, cita-cita asal Mariani ialah mahu bergelar doktor. Disebabkan itu, primadona filem Melayu ini pernah menolak tawaran berlakon daripada Tan Sri Run Run Shaw kerana mahu fokus kepada cita-citanya itu.

Bagaimanapun, dua tahun kemudian Mariani akhirnya mengalah dan bersetuju menjadi pelakon selepas dipujuk adiknya, Allahyarham Puan Sri Saloma.

Mariani membuat kemunculan pertama dalam filem Yatim Piatu sebagai watak pembantu pada 1952 sebelum diberi kepercayaan membawa watak utama dalam filem Chemburu arahan S Ramanathan pada tahun sama.

Watak jahat yang dibawanya dalam filem berkenaan meninggalkan impak hingga dia dibenci peminat.

Namun, lakonannya sebagai Manisah, anak kepada Haji Bakhil (lakonan Udo Omar) dalam filem Labu Labi dan Siantan, wanita batu api dalam filem Sri Mersing antara yang paling diingati.

Selain itu, antara filem lakonannya di Studio Jalan Ampas ialah Nasib Si Labu Labi, Tiga Abdul, Istana Impian, Kembali Seorang dan Tiga Abdul.

Mariani kemudian berhijrah ke Studio Merdeka, Kuala Lumpur dan membintangi filem antaranya Masam-Masam Manis, Putus Sudah Kasih Sayang dan beberapa filem lain.

Pembabitannya sebagai pelakon menyaksikan dia membintangi lebih 30 filem. Filem terakhirnya ialah Cara Mengundang Hantu, tahun lalu, manakala antara drama terakhir ialah Kampung Semarah Padi, Kronologi Penjual Roti dan Hospital Mati Lampu.

Selain itu, Mariani juga berbakat dalam nyanyian dan suaranya diperdengarkan menerusi filem Darah Muda yang turut menampilkan lakonannya bersama Tan Sri Jins Shamsuddin dan Datuk Sarimah Ahmad.

Berkorban untuk Saloma

Sebagai kakak, Mariani juga melakukan pengorbanan besar terhadap Saloma atau nama sebenarnya Salmah Ismail apabila ‘merelakan’ Saloma mencintai Allahyarham Tan Sri P Ramlee walaupun dia sebenarnya dikatakan menjalin hubungan cinta dengan Seniman Agung itu.

Ia dikatakan bermula ketika mereka menikmati makan malam bersama. Ketika itu Mariani ternampak Saloma memerhatikan mereka dari jauh.

Bertitik tolak dari situ, beliau melakukan pengorbanan untuk melihat adiknya hidup bersama P Ramlee.

Sepanjang hayatnya, Mariani pernah berkahwin tiga kali dan dikurniakan 13 anak.

Perkahwinan pertamanya dengan Darus, mereka dikurniakan dua anak iaitu Noraini dan Normala.

Bersama suami kedua, H M Rohaizad, beliau dianugerahkan enam anak iaitu Sharifah Haslinda, Sharifah Rozita, Syed Herwaini, kembar Syed Marhain dan Syed Nazran serta Syed Hasnidan.

Perkahwinan dengan suami ketiga, Alias pula mereka dikurniakan lima anak iaitu Iskandar Mierza, Shahruniza, Ariff Efandi, Kamarul Ariffin dan pelakon serta pengarah, Melissa Saila.

Jenazah Mariani dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Jalan Ampang, bersebelahan pusara Saloma dan P Ramlee pada jam 11.35 pagi semalam.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 3 Disember 2015 @ 9:22 AM