SUKA bawa watak jahat.
BERSAMA Fathia yang membawa watak Bawang Merah.
Oleh Ramlah Zainal
ramlah@hmetro.com.my

Berdarah kacukan Melayu-Inggeris bukan penghalang buat pelakon jelita, Juliana Evans untuk beraksi dalam cerita klasik Bawang Putih Bawang Merah yang cukup popular dalam kalangan penggemar filem Melayu lama.

Pementasan teater Bawang Putih Bawang Merah di Istana Budaya, Kuala Lumpur mulai esok hingga 8 Disember ini juga menyaksikan pertama kali Juliana beraksi di pentas teater.

Yang pasti, ia sangat berbeza dengan penampilannya di kaca TV dan layar perak. Namun, Juliana lebih suka melihat perkara itu dari sudut positif.

“Saya juga menerima tawaran berlakon teater ini kerana ingin mencabar diri di pentas teater, sekali gus mengembangkan lagi cabang seni sedia ada.

“Saya berharap ia permulaan bagus untuk melangkah lebih jauh dalam bidang teater tanah air,” katanya.

Juliana berkata, dia juga memilih untuk melakonkan watak antagonis iaitu Bawang Putih untuk menampilkan sisi berbeza dalam lakonan.

“Pada mulanya, pengarah Erma Fatima menawarkan saya watak Bawang Merah, tetapi saya menolaknya dan memilih Bawang Putih. Akhirnya, watak Bawang Merah diserahkan kepada Nur Fathia.

“Maklumlah, saya sering melakonkan watak baik dalam drama mahupun filem sebelum ini sehingga saya pun bosan.

“Sebagai pelakon, saya mahu melakonkan watak yang berbeza kerana ingin mencabar kemampuan dalam lakonan serta memberi kepuasan,” katanya.

Pada masa sama, Juliana mengakui bukan mudah untuk melakonkan watak Bawang Putih itu.

“Bukan mudah untuk membuatkan penonton membenci diri saya, lebih-lebih lagi untuk memuaskan hati peminat cerita klasik ini.

“Namun, saya sangat teruja kerana percaya watak jahat boleh memberi kepuasan yang lebih dan lebih diingati penonton. Saya akan berusaha untuk melakonkan yang terbaik seperti dikehendaki skripnya,” katanya

Sedia terima kritikan

Sebagai pendatang baru di pentas teater, Juliana bersedia menerima apa saja kritikan daripada peminat.

Bagi pemegang ijazah Perfileman, video dan Media dari Universiti Western Michigan, Amerika Syarikat ini, apa yang penting dia tidak mahu cepat melatah dan lebih suka melihat setiap kritikan dari sudut positif.

“Pada peringkat awal, apabila diberi watak Bawang Putih, ada pihak mengkritik dan mendakwa wajah saya lebih sesuai untuk melakonkan watak baik.

“Sebagai pelakon, tanggungjawab saya ialah untuk merealisasikan watak Bawang Putih seperti dikehendaki pengarah dan membuktikan pada semua saya mampu melakonkan watak jahat dengan baik.

“Begitu juga dakwaan teater ini membariskan wajah komersial, ia juga kritikan yang perlu dilihat dari sudut membina dengan membuktikan kami mampu memberikan yang terbaik pada naskhah ini.” katanya.

Paling mencabar, kata Juliana, dia perlu mempelajari aspek dari segi lontaran suara untuk memastikan suaranya dapat didengari dengan jelas oleh penonton.

“Suara saya kecil dan banyak yang perlu dipelajari untuk memastikan lontaran suara yang lebih baik dan sesuai untuk pentas teater.

“Selain itu, saya juga perlu memastikan dialog yang sesuai digunakan pada zaman Melayu lama itu,” katanya.

Teater arahan bersama Erma dan A Aris Kadir (koreografer) itu turut menampilkan pelakon seperti Nabila Huda, Beto Khusyairi, Syarul Ridzwan, Fazlina Ahmad Daud, Rosnan Rahman dan pelakon Indonesia, Tya Ariffin.

Maklumat lanjut mengenai tiket, layari laman web redtix.airasia.com atau kaunter box-office di Istana Budaya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 3 Disember 2015 @ 9:19 AM