FAIZAL (tengah) bakal dihadapkan ke Jawatankuasa Disiplin selepas ponteng latihan skuad kebangsaan.
Oleh Rodly Fadly
sukan@hmetro.com.my


Kuala Lumpur: Penyerang hoki kebangsaan Faizal Saari meminta Konfederasi Hoki Malaysia (MHC) memberinya peluang kedua untuk terus menyarung jersi negara dan berjanji tidak akan mengulangi kesilapannya pada masa akan datang.

Faizal berkata, dia sudah sedar akan kesilapannya serta bersedia menebusnya dengan disiplin dan prestasi lebih baik. Malah dia sedia menerima sebarang bentuk hukuman daripada badan induk itu jika mencetuskan masalah lagi pada masa depan.

“Saya mengaku memang salah kerana tidak turun menjalani latihan bersama skuad kebangsaan. Saya ingin meminta maaf kepada Presiden (Datuk Seri Subahan Kamal), Pengarah Teknikal (Terry Walsh), jurulatih (Stephen Van Huizen) dan rakan sepasukan.

“Saya mempunyai alasan sendiri mengapa tidak berbuat begitu, cuma kesilapan saya tidak memaklumkan kepada jurulatih lebih awal. Saya menemui Stephen semasa kejohanan Hoki Remaja Asia di Kuantan baru-baru ini untuk menerangkan punca saya ponteng.

“Tapi sekarang masih tiada sebarang jawapan sama ada saya akan diterima kembali ke dalam skuad kebangsaan. Khabarnya kes saya akan dibawa ke Jawatankuasa Disiplin. Saya hanya menunggu masa dipanggil untuk menerangkan segala-galanya kepada MHC.

Dapatkan akhbar Harian Metro untuk berita selanjutnya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 3 Disember 2015 @ 6:34 AM