Stesen ERL di KL Sentral (Fail)

Kuala Lumpur: Express Rail Link Sdn Bhd (ERL) mempertahankan keperluan menaikkan tambangnya bagi kekal mampan.

Katanya tambang perkhidmatan KLIA Ekspres dan KLIA Transit tidak berubah sejak April 2002 walaupun kos operasi dan penyelenggaraan meningkat.

"Projek ERL dilaksanakan dengan kos RM2.4 bilion dan syarikat mengalami kerugian sejak beberapa tahun, terkumpul sehingga RM671.7 juta.

"Pada Julai tahun ini, pemegang saham ERL menyuntik modal tambahan RM72 juta kepada syarikat," katanya dalam kenyataan hari ini.

ERL berkata, syarikat perlu terus melabur dalam sistem baharu dan set kereta api yang akan dihantar secara berperingkat mulai Mei 2016 untuk menampung jumlah penumpang yang meningkat.

Semalam, ERL mengumumkan tambang perjalanan sehala antara KL Sentral ke KLIA dan KKLIA naik RM20 kepada RM55 mulai 1 Januari tahun depan. - Bernama

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 2 Disember 2015 @ 10:01 PM