Tambang ERL perjalanan sehala dari KL Sentral ke KLIA dan KLIA2 ialah RM55 berkuat kuasa 1 Januari tahun depan. - Foto NSTP(Fail)

Kuala Lumpur: Tambang perkhidmatan Express Rail Link Sdn Bhd (ERL) terpaksa dinaikkan kerana ia tidak pernah disemak sejak dilancarkan pada 2002, kata Timbalan Menteri Pengangkutan Datuk Ab Aziz Kaprawi.

Beliau berkata, berikutan itu kerajaan bersetuju dengan kenaikan berdasarkan rasionalisasi ERL mengalami kerugian kerana tambang tidak pernah dinaikkan.

"Pada dasarnya kementerian bersetuju dan memberi kebenaran selepas 14 tahun permohonan mereka (ERL) tidak dapat kelulusan kerajaan. Selama 14 tahun itu harga tiket harga lama dan kos operasi meningkat dua kali ganda," katanya kepada pemberita di lobi Parlimen hari ini.

Tambang ERL bagi perjalanan sehala dari KL Sentral ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan ke KLIA2 ialah RM55 berkuat kuasa 1 Januari tahun depan.

Ketua Pegawai Eksekutif ERL, Noormah Mohd Noor berkata ia adalah kadar diskaun berikutan ERL dibenarkan menyemak kadar tambang kepada RM64 berdasarkan terma perjanjian konsesi.

Ditanya mengenai rasionalisasi kenaikan sehingga mencecah RM20 ketika rakyat menanggung beban pelbagai kenaikan harga barang dan mode pengangkutan lain, Aziz berkata pelbagai promosi dan diskaun turut ditawarkan.

"Kalau hendak murah ada pakej kad perjalanan yang sangat murah. Ada tiga pakej hingga kurang 40 peratus daripada harga tiket diumumkan.

"Yang diumumkan itu termasuk untuk warga asing bagi kegunaan sekali sehari. Kalau rakyat biasa, kita boleh guna hari-hari kad perjalanan yang lagi murah daripada harga asal,” katanya. - Bernama

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 2 Disember 2015 @ 9:32 PM