NURCAHYO memegang model pesawat bagi menunjukkan bagaimana pesawat QZ8501 terhempas dalam satu sidang akhbar di Jakarta, semalam.
GAMBAR fail menunjukkan pasukan penyelamat menarik serpihan pesawat QZ8501 yang terhempas di Laut Jawa, Disember lalu.
AP

Jakarta: Masalah pada sistem kawalan kemudi dan ditambah dengan tindak balas juruterbang adalah punca sebuah pesawat AirAsia Indonesia terhempas tahun lalu hingga menyebabkan semua 162 penumpang maut, kata pasukan penyiasat semalam.

Jawatan Kuasa Keselamatan Pengangkutan Indonesia berkata, analisis pada kotak hitam pesawat QZ8501 menunjukkan sistem kawalan kemudi berulang kali menghantar amaran kepada juruterbang ketika penerbangan dari Surabaya menuju ke Singapura pada 28 Disember tahun lalu.

Rekod penyelenggaraan pesawat Airbus A320 itu mendapati masalah pada sistem kawalan kemudi dilapor sebanyak 23 kali pada tahun kejadian itu berlaku.

Masalah itu semakin kerap dilaporkan tiga bulan sebelum pesawat itu terhempas.

Penyiasat berkata, masalah itu berpunca daripada rekahan pada sambungan pematerian di papan litar elektronik.

Katanya, apabila amaran keempat dihantar, juruterbang cuba set semula sistem kawalan kemudi ketika menerbangkan pesawat secara manual.

Tindakan itu menyebabkan pesawat terhenti untuk jangka waktu yang lama dan gagal dipulihkan oleh juruterbang, menyebabkan ia terhempas di Laut Jawa.

Pegawai penyiasat Nurcahyo Utomo berkata, data rakaman suara kokpit menunjukkan kemungkinan wujudnya kekeliruan antara juruterbang dan pembantunya.

Katanya, pada satu ketika juruterbang berkata “tarik ke bawah” tetapi pesawat itu sebenarnya sedang menaik.

“Kelihatan ada silap komunikasi antara juruterbang dan pembantunya selepas amaran keempat,” katanya.

Menurutnya, cuaca buruk bukannya penyebab nahas itu seperti yang dipercayai sebelum ini.

Hubungan terakhir antara juruterbang dan menara kawalan trafik menunjukkan pesawat itu menghampiri cuaca buruk.

Juruterbang meminta kebenaran menaikkan pesawat dari aras 9,753 meter ke 11,582 meter untuk mengelak awan tebal, tetapi tidak dibenarkan kerana trafik udara sibuk.

Empat minit kemudian pesawat malang berkenaan hilang dari radar dan tiada panggilan kecemasan dilakukan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 2 Disember 2015 @ 7:08 AM