Anggota bomba terpaksa dipanggil bagi mengeluarkan mayat mangsa yang tersepit dalam kereta.
Keadaan kereta yang remuk selepas melanggar belakang treler di Persiaran Setia Alam. - Foto Ihsan Pembaca
Oleh Siraj Mohd Zaini
siraj@hmetro.com.my


Shah Alam: Seorang jurujual lelaki maut selepas kereta jenis Toyota Corolla dipandunya merempuh belakang sebuah treler di Persiaran Setia Alam, dekat sini, pagi tadi.

Dalam kejadian kira-kira 9.45 pagi itu, Ahmad Zaki Borhanuddin, 28, meninggal dunia di tempat kejadian selepas cedera parah di kepala dan anggota badan.

Ketua Polis Daerah Shah Alam Asisten Komisioner Shafien Mamat berkata, siasatan awal mendapati mangsa gagal mengawal kenderaannya yang dipandu laju sebelum merempuh belakang treler di depannya.

“Berdasarkan kesan di lokasi serta kenyataan saksi mendakwa kereta berkenaan dipandu laju selain mencelah di antara beberapa kenderaan sebelum merempuh lori berkenaan.

"Berikutan rempuhan itu, mangsa tersepit dan meninggal dunia di lokasi kejadian," katanya.

Shafien berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) (a) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 1 Disember 2015 @ 7:37 PM