Oleh Fairul Asmaini Mohd Pilus
asmaini@hmetro.com.my


Pertandingan Seni Warisan Kebangsaan 2014 anjuran Tanjong plc baru-baru ini berjaya mengabadikan pelbagai warisan tanah air di atas kanvas mengikut kreativiti seniman muda di negara ini.

Segala senario kehidupan, tradisi serta kebudayaan yang diwariskan dari generasi terdahulu termasuk tempat bersejarah dan bangunan warisan dizahirkan melalui lukisan yang cukup berseni oleh peserta.

Pertandingan berkenaan terbahagi kepada lima kategori iaitu warna air, minyak/akrilik, media campuran, arang/pensel/dakwat dan seni cetak.

Penganjuran kali ini turut menyaksikan Akademi Seni Dasein mencipta kecemerlangan tersendiri apabila berjaya membawa pulang sejumlah 21 hadiah daripada kesemua lima kategori yang dipertandingkan.

Lebih manis, dua pelajarnya turut memenangi lebih daripada satu kategori iaitu Lee Xuan Guang yang memenangi tempat kedua bagi kategori Warna Air, sagu hati dalam kategori Minyak/Akrilik serta kategori Seni Cetak.

Rakannya, Ong Cai Bin juga membawa pulang hadiah kedua dalam kategori Media Campuran dan hadiah ketiga bagi kategori Seni Cetak.

Pengerusinya Datuk Robert Cheim berkata, sebagai negara yang mempunyai kepelbagaian budaya serta agama, masyarakat secara semula jadi dilentur oleh kepelbagaian adat, tradisi dan kepercayaan.

Kata Cheim, beliau teruja menyaksikan peserta menghasilkan begitu banyak sejarah silam negara yang diberi penghargaan dan diabadikan pada kanvas.

"Saya berasa bangga dan gembira melihat kejayaan anak muda ini dalam mengembangkan bakat seni yang mereka miliki.

"Ternyata, pertandingan ini mencapai matlamatnya apabila berjaya menarik 1,095 penyertaan dari 17 institusi pengajian tinggi di seluruh negara.

"Mereka bersaing bagi menunjukkan kreativiti masing-masing selain merebut peluang menerima hadiah keseluruhan yang berjumlah RM53,500," katanya pada majlis penyampaian hadiah, baru-baru ini. Hadir sama Ketua Pegawai Kewangan Kumpulan Gerard Nathan.

Sementara itu, panel hakim pertandingan berkenaan diketuai arkitek ternama, Laurence Loh.

Beliau bukan nama asing dalam dunia rekaan kerana hasil kerjanya yang berkaitan dengan pemeliharaan warisan negara pernah memenangi beberapa anugerah berprestij dari Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO).

Loh turut disertai oleh barisan tokoh terkenal dalam bidang seni lukis dan warisan termasuk Profesor Madya Fauzan bin Omar, salah seorang pelukis kontemporari paling berpengaruh di Malaysia. Beliau mewakili Malaysia dalam pelbagai pameran serantau dan antarabangsa yang berprestij sejak 1980-an.

Ahli panel hakim yang lain pula terdiri daripada Pengarah Eksekutif Badan Warisan Malaysia Elizabeth Cardosa, yang memenangi banyak anugerah UNESCO bagi Pemuliharaan Warisan Kebudayaan serta Dr Kim Phaik Lah.

Sebagai warga korporat yang bertanggungjawab, setiap tahun syarikat berkenaan dan anak syarikatnya secara aktif menyumbang kepada pelbagai usaha dalam bidang kesenian dan pembangunan sukan.

Syarikat itu turut komited memainkan peranannya dalam pemuliharaan warisan kebudayaan serta juga aktiviti lain, yang bukan saja memberi manfaat kepada syarikat dan kakitangannya tetapi juga masyarakat sekeliling secara amnya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 18 November 2014 @ 5:00 AM