Oleh Lily Haslina Nasir

Pagi yang mendung. Langit di luar sana bersisik-sisik dengan awan membawa hujan. Cuaca sangat tidak menentu kebelakangan ini. Sekejap panas terik, kemudian tiba-tiba berbondong-bondong awan hitam. Effa mencicip kopi yang masih berasap tipis di meja. Entah mengapa kopi yang dibancuh

di pantri pejabat itu terasa sejuk, tawar dan hambar. Kelat-kelat pahit dirasakan minumannya pagi itu. Sepahit sepotong kenangannya bersama Chairil yang disimpan di dalam hati.

Matanya terpejam, bibirnya diketap, diri tenggelam dalam dunia nan kelam. Dendam bersimpul mati di dalam diri. Menggelupur jiwa apabila terpandangkan sekotak manisan yang berwarna keemasan terhias

cantik dengan reben perak. Bunga telur yang berjuraian manik-manik kristalnya. Ada kad comel berbentuk hati tertera nama Chairil dan nama perempuan yang paling dibencinya saat itu,

Sofea.

“Selamat pagi Effa! Eh, you pergi majlis Chairil?” Kak Rose yang tiba-tiba muncul dengan sebeban fail di tangan menyebut nama lelaki itu. Menambah pedih luka hati.

“Tak sempat Kak Rose. Ada hal penting malam nikah dia orang tu.”

“Itulah. Chairil buat majlis tertutup ya. Tak ramai yang dijemput. Kak Rose dah tengok gambar. Cantik sangat Pia

masa nikah tu. Berseri muka!”

Luka di hati menjadi semakin membusung dan bernanah. Effa cuba menahan diri. Pura-pura senyum. Tangan yang menggeletar pantas disorokkannya.

“Eh tengok gambar dekat mana?”

“Ada dalam e-mel office. Rasanya dalam whatsapp pun ada. Firdaus yang kongsi semua tu.”

“Oh ya? Tak perasan pulak.”

“Tak sangka Pia sanggup nikah dengan Chairil. Yalah, bila lelaki dah

sakit macam tu, jarang ada perempuan yang sudi ikhlas nak jaga.” Semakin beragas hati Effa

berdarah.

Dia cuma angkat kening. Mengangguk tidak, membantah pun tidak. Alah, dah jantan itu boleh rendamkan kau dalam kolam duit, tidur bertilam dan berbantalkan duit, bergulinglah kau sang­gup bela si Chairil, Pia! Sumpah seranah Effa di dalam hati.

“Lama ke Pia dengan Chairil cuti?” Hati membenci namun rasa ingin tahu masih lagi menghambat jiwa.

“Tak tahulah. Tapi kalau tak salah Sofea masuk kerja macam biasa aje nanti. Dia cuti pun seminggu aje. Dengar cerita famili sibuk nak uruskan rawatan untuk Chairil.”

“Rawatan Chairil? Baru nak buat ke?” Sinikal sungguh pertanyaan Effa. Sibuk sangat dikejar Sofea yang menyerah nak jadi bini, sampai tertangguh rawatan? Effa mencemuh di dalam hati.

Melihat timbunan fail dan kerja tertunggak yang diserahkan Kak Rose itu cukup menambah bara api pada hati Effa.

“Tolong ya Effa! Tengok-tengokkan mana yang sempat. Ni kerja-kerja yang pending dari Sofea.

Itu pun Kak Rose dah agih-agihkan pada orang lain sikit.”

“Letaklah situ.” Dia mengerling ke arah fail-fail itu. Mujur yang menghantar itu Kak Rose. Rasa segan­nya pada Kak Rose yang lebih tua membuatkan Effa tidak terlajak lidah mencarutkan nama musuh ketatnya. Kalaulah Nisa atau Huda yang minta tolong, harus dia menjerit biar sampai bergegar Menara Rumah Manis.

Kak Rose melangkah keluar. Dada bergelombang, nafas terasa sesak, darah menyerbu naik ke muka. Perasaan benci berkesumat di jiwa. Dicapainya kotak manis dan bunga telur yang dititipkan keluarga Chairil untuk rakan pejabat.

Dipatah-patahkannya ­bunga telur itu. Jarinya ­sendiri sakit. Tapi dia tidak peduli. Kotak manis dikoyak-­koyakkan.

Direnyukkan selagi boleh sebelum kedua-duanya dihumbankan ke dalam tong sampah! Pergi jahanam kau pengantin baru!

Fikiran liarnya teringatkan seseorang. Pantas dia mencapai telefon dan mengatur janji. Pada Shaza tempat dia melepaskan geram. Berkongsi rasa dengan orang yang diang­gap seperahu meredah gelombang jiwa, tentunya melegakan diri. Tengah hari itu Effa bersama-sama Shaza makan tengah hari di Chawan, Bangsar. Sengaja dia mengelak makan di kawasan seputar Menara Rumah Manis. Bimbang terserempak dengan Firdaus tatkala seronok menyumpah-seranah Chairil bersama-sama Shaza.

Harus cepat saja berita itu disampaikan pada Chairil.

Langit gelap pagi tadi bagaikan tersipu-sipu dikuis terik matahari. Hujan tidak jadi. Terik cahaya matahari terasa menikam ke tujuh lapisan kulit. Effa tidak peduli gerak langit. Janjinya untuk bertemu Shaza diteruskan.

“Dia tak jemput ke?” Effa bertanya dengan hati yang berjelaga. Di hadapannya itu perempuan yang dibenci oleh Chairil.

“Alah, kalau jemput pun tak kuasalah nak datang.”

“Eh, Tuan Ramli tu abang ipar you kan? Chairil tu anak saudara suami you! Takkan tak jemput?”

Bukan tidak tahu konfrantasi itu namun membakar rasa benci orang memang memberi kepuasan bagi Effa.

“Memanglah abang ipar. Tapi tak tahulah nak cakap macam mana.”

Effa semakin galak matanya merenung Shaza. Sangat lain bunyinya nada Shaza. Memang dia tahu Shaza dengan suami ada perang dingin. Namun tidak sangka ke tahap begini.

“Kenapa jadi macam ni? Bukan masa you kahwin dengan suami you tu, Tuan Ramli yang uruskan?

Kalau tak silap I dengar, dia yang pinangkan you, uruskan wedding semua, kan? Masa Haris study dulu bukan Tuan Ramli tu yang banyak bantu ke?”

“Memanglah. Tapi itu dulu. Alah, macam Haris kata, sampai bila dia nak hidup bawah bayang-bayang famili Ramli tu. Kita orang sejak nikah memang dah tak jejak situ. Raya pun kami sendiri-sendiri.”

“Oh! Sorrylah, I tak ada niat nak selongkar cerita you!”

“Huh, peduli apa I. Haris balik rumah famili dia ke, tak balik ke, ada aku kisah! Hah lagi bagus macam ni! Tak sakit otak nak fikir saudara-mara dia. Jimat serba-serbi bila kita ni tak payah nak sibuk-sibuk buat baik dengan keluarga dia. Haris tu I punya seorang! Peduli apa I.

Hari raya, orang sibuk nak beraya sana sini, suami I tu mana I nak pergi, dia ikut ajelah! Duit gaji suami confirm I tak payah kongsi dengan sesiapa! Peduli apa I kalau pun masa Haris tu study, abang dia tu banyak berbudi.”

“Wah! Cayalah Shaza! Nanti kalau I kahwin, you bagi petua ya macam mana nak ikat laki!”

“Mula-mula ajelah manis! Alah-alah cakap pun kita kontrol suaralah! Bisik-bisik gitu. Lembut lemah gemalai! Haha, dah dapat, cengkam sampai ke tulang sum sum. Cerita suami I nak kahwin famili tu bantu, kisah dia zaman belajar abang dia jadi penjamin untuk pinjaman JPA, I don’t give a damn! Lantaklah, itu

cerita dia waktu bujang. Yang I tahu sekarang dia laki I. Suka hati I lah nak tambat laki I macam lembu ke, macam kambing ke kan!”

“Kalau semua perempuan cekap urus laki macam you, mesti aman dunia! Takkan ada lelaki berani nak cuba-cuba main wayang, kan!”

“Alah, lelaki ni kalau pandai urus, menikus dia ikut cakap kita. Pandai-pandailah kan! Cari ubat bagi dia ikut cakap. Haris dulu pun awal-awal kahwin, bukan main lagi garang.”

“Oh, really?”

“Sungguh! Kenapa you terkejut?”

“Teringat Chairil.”

“Kenapa dengan dia?”

“Sama kot perangai dengan pak saudara

dia. Garang, moody, ­cengih.”

“Itu yang I cakap! Kalau you pandai cari ubat, senang cerita!”

“Alah itu dulu. Kalau sekarang ni, Chairil datang menyembah pun tak ingin I!”

“Huish, duit berkepuk tu! Tujuh keturunan tak habis makan kot!”

“Duit berkepuk tapi tak berfungsi nak buat apa!”

“Peduli apa yang tu! Penting kita senang-lenang.”

“Alah, dah jadi laki orang pun!”

“Lelaki boleh nikah empat, bukan?”

“Huh, apa kelas kalau nak kongsi? Setakat macam Chairil tu, apa yang dia boleh buat pun sekarang.”

“Eh, you pergi ke majlis Chairil?” Giliran Shaza pula bertanya. Tangannya kemudian pantas mengeluarkan telefon bimbit

dari tas tangan. Pantas sungguh jarinya menaip sesuatu.

Effa diam, wajah

mencuka dan kemudian geleng.

“Nabi kata kalau kahwin, buat kenduri. Sembelihlah walau seekor kambing. Ada orang, sembelih bapak dinasour pun mampu, mahu kenduri ikan paus pun berduit!”

Tweet!

“Tapi ada yang tetap kemut tak jemput orang! Saudara-mara pun tak diundang! Berkat ke majlis tu Mak Jemah!”

Tweet!

“Opsss, patutlah tak jemput! Pengantin lelaki dah terlentang di katil. Pengantin perempuan dengan misi mengikis duit! Perfect match! Jodoh dari pintu neraka tu! Padanlah muka kau orang.”

Tweet!

“Dia tak jemput?” ­Tangannya pantas menaip, terus berkicau di twitter. Puas rasa hati. Seumpama terbayar dendamnya

pada keluarga abang iparnya itu.

“Memang dia tak jemput. Tapi tak adalah I kempunan sangat nak makan nasi minyak dia tu!”

“Alah, orang macam tu pedulikan! Tak lama kahwin tu! Kita tengoklah. Esok lusa dah kering kontang duit Chairil, harus bini dia tinggalkan dia. You ingat kalau Chairil tu takat pakai kereta Viva, takat kerja jadi kerani, mahu ke si bini tu nikah dengan dia!” Pedih berbisa kata-kata Shaza namun

Effa pantas mengiyakan. Setuju benar dia ­dengan pendapat ibu saudara Chairil itu.

Siang itu dua sahabat yang bertemu dengan satu titik benci yang menggunung pada Chairil dan ­Sofea, sama-sama berasa lega dapat melepaskan amarah mereka. Deru angin membawa rasa panas kering yang luar biasa. Sesekali habuk dan debu merah jalan raya

berterbangan. Perit bahang awal petang itu bagai membawa khabar akan ada hujan lebat malam­nya nanti. Effa dan Shaza

saling berpamitan dan berjanji.

“Apa-apa cerita, kita kongsi ya nanti!”

“Okay! Update tau!”

*****

Sunyi ditenggelam jiwa resah. Dunia sekeliling terasa kosong. Tubuh terasa tidak bernyawa. Di satu ruang di rumah Tuan Ramli, Chairil sedang dipujuk Sofea untuk terus sabar berubat. Tiada sesiapa di rumah petang itu.

Emak dan abah Chairil sibuk menyelesaikan segala urusan mencari ahli fisioterapi yang boleh datang memberi rawatan di rumah.

“Nanti kita pergi hospital sama-sama ya. Pia temankan.”

“Nak buat apa pergi hospital. Kalau pergi tu boleh terus baik ke?”

“Kita cubalah dulu. Abang tak pernah setuju dengan cadangan doktor. Macam mana nak tahu hasilnya.”

“Pia sukalah ya kalau abang kena tahan wad lama-lama?”

“Ya Allah! Mana ada Pia cakap macam tu. Kita usahalah dulu. Tujuan Pia nikah dengan abang pun memang nak bantu abang. Nak abang berubat. Pia nak tengok abang sihat macam dulu balik.”

“Sebab tu aje? Kalau takat itu aje niat Pia, baik abang nikah dengan jururawat dekat hospital hari tu. Makna bukan ikhlas nak jadi isteri abang?”

“Astaghfirullah!

Kenapa abang cakap macam tu.”

“Pia yang cakap macam tu!”

“Abang, boleh tak istighfar sikit! Boleh tak kalau rasa hati tu tak tenteram, abang mengaji. Solat. Minta Allah tenangkan abang.”

“Kalau mati baru tenang kot!”

“Siapa cakap kalau abang mati baru tenang? Dah banyak ke amal abang?” Sofea hilang sabar.

“Pia apa tahu! Pia tahu ke berapa banyak yang abang sedekah, abang derma masa abang sihat. Semua tu siap ada sijil penghargaan lagi dari ­pihak rumah rumah

kebajikan yang abang derma.” Chairil masih

tidak kurang dengan ang­kuhnya.

“Abang, cuba muhasabah diri. Nada abang kadang-kadang macam nak menidakkan takdir. Tak baik kalau abang nak hitung semula apa yang abang dah derma atau sedekah. Kenapa mesti abang sebut fasal sijil? Kenapa mesti cerita pada Pia ­dengan nada macam ni? Kita ada sijil derma ke, kita ada

slip akuan penerimaan sedekah kita ke, itu semua bukan jaminan kita masuk syurga! Jangan riak, bang.” Lunak suara Sofea. Berulang kali Chairil

menarik nafas. Kata-kata Sofea itu bagai menyerap segala kesombongannya tadi.

“Kita berubat ya?”

Chairil diam.

“Nanti kalau abang dah sihat, Pia teringin nak ikut abang pergi memancing.”

Chairil memandang Sofea dengan rasa sayu. Ada sebak bergetar di hati. Perempuan, engkau sangat luhur!

“Abang dapat melang­kah setapak aje pun jadilah! Nanti Pia cadang nak jamu anak-anak yatim dekat Rumah Al-Kitab, Beranang. Pia nak masak sendiri. Kalau boleh semuanya lauk ikan yang abang suka pancing.”

Chairil senyum. Hati­nya menangis dalam sembunyi. Sejuk hatinya mendengar kata-kata Sofea.

“Abang tak ada niat apa-apa?”

“Abang kalau sihat, Pia sambung belajar ya!”

“Hah? Buat apa?”

“Abang tanggung semua pengajian Pia nanti.”

“Huh, buat apa! Kita cerita fasal sakit abang, fasal masa depan. Bukan fasal Pia!”

“Ini cerita masa depanlah. Tak salahkan bera­ngan-angan. Kalau Pia boleh jaga abang waktu abang sakit, abang nak jaga dan tanggung Pia sambung belajar. Tak cukup dengan ijazah pertama tu.”

“Abang ni exam orientedlah! Ni mesti kalau ada anak, dera dan paksa anak dapat A berderet. Abang, untuk eja perkataan hidup pun kita tak perlu A, bukan. Bersyukurlah dengan apa yang abang dah ada. Ting­kat hidup kita bukan pada ijazah, bukan pada A, bukan.”

“Pia, dengar sini baik-baik. Untuk eja kaya,

untuk eja agama, untuk eja sihat, eja sejahtera, kita perlu banyak A dalam hidup.”

Sofea tersenyum. Melihat Chairil yang kembali tenang, seribu rahmat dirasakan jatuh dari langit.

“Okay, Pia janji, tapi

macam mana Pia nak sambung belajar kalau abang tak sihat. Abang

berubat ya.” Pantas dia memujuk.

Chairil lambat-lambat akhirnya mengangguk.

“Kalau abang tak mahu pergi hospital dulu, kita cuba cara lain ya.”

Chairil memandang wajah isterinya.

“Emak dengan abah Pia dah carikan orang merata-rata. Dekat Melaka, abang boleh cuba dengan Ustaz Rahim di Teluk Mas.

Pada Pak Imam Sanip dekat Segamat pun nanti

kami rancang nak bawak abang. Tapi dalam masa terdekat ni abang kena setuju kita cuba jumpa Pak Mus di Bukit Merbah, Seremban ya. Dia pakar dalam rawatan tulang dengan saraf.”

Chairil diam tanpa sebarang reaksi. Bukannya dia tidak mahu tetapi dia lelah dengan usaha demi usaha. Lenguh dan sakit satu badannya asyik dibawa ke sana ke mari.

“Abang sayang Pia, kan?”

Sofea mengenggam ­tangan Chairil. Ada debar yang sukar dilafazkan. Hangat dan sayu berbaur menjadi satu. Chairil me­ngangguk.

“Kita cuba dulu ya. Lepas tu kalau semua dah kita usaha, tak boleh jugak. Kita ke hospital. Kalau masih tak sembuh, abang percayalah pada Pia, sebagai isteri, Pia reda semua ni. Tapi sebelum tu berilah peluang pada diri abang untuk berubat.”

“Kenapa ya, abang yang terpilih jadi macam ni?” Ada wajah sugul pada raut Chairil. Sesekali dia tidak mampu menepis persoalan itu.

“Jangan persoalkan kenapa Allah SWT beri abang ujian. Abang, Pia atau sesiapa saja semua­nya hamba-Nya. Kalau dah bergelar hamba memang kita tak ada hak untuk pertikaikan.”

“Pia tak rasa ralat ke kahwin dengan abang? Pia kenal abang sekejap sangat. Lepas tu jadi macam ni.” Suara Chairil bergetar dan tersekat-sekat.

“Jodoh bukan bermaksud berapa lama kita kenal, tetapi keyakinan kita pada takdir Allah SWT.”

Chairil diam dan terus minta dibaringkan. ­Dengan segala kudrat yang ada, biarpun bertubuh kecil, Sofea gagahkan diri me­ngangkat dan mengalihkan suaminya dari kerusi roda ke katil.

Chairil pejamkan mata. Dia berharap Sofea akan meninggalkan dia seorang diri di bilik itu. Batin terasa mahu menjerit, mahu menangis sekuat rasa. Apalah erti inai di jari Sofea kalau dia sekadar suami di atas kertas. Ya Tuhan, mengapa ya hidup ini aneh? Selalu­nya yang dikejar-kejar itu menjauh? Yang dielak-elak itu mendekat! Yang

tidak sengaja itulah yang akrab.

Ya Rabb, adakah ikhlas hati Sofea? Aku tidak mampu membayangkan masa depan. Perkara yang aku terlalu yakin, lerai sudahnya. Yang aku ragu-ragu itulah yang menjadi pasti. Yang aku tidak ­pernah fikirkan, menjadi belahan jiwa di pelaminan.

Sofea kemudian terus ke dapur apabila ­terdengar suara mentuanya sudah pun pulang. Chairil terus melayan resah jiwa. Tiba-tiba sahaja terasa diri serba kerdil, serba tidak bermakna gelaran suami pada Sofea. Ya Tuhan, tabahkan hati aku!

“Pia, abang mungkin bukan suami yang sempurna. Namun abang masih berusaha mendekati dan memesrai jiwa Pia pada semua doa-doa abang sewaktu sepertiga malam. Abang selalu bangun pada sepertiga malam yang hening itu untuk mendoakan engkau diam-diam.”

Ada rasa mahu berkongsi kisah itu pada Sofea. Mahu diceritakan pada Sofea namun batinnya melarang. Biarlah! Kalau sayang, cukup disebutkan nama dalam doa dan solat. Biarlah Sofea yang penat mengangkat, memandikan engkau, membersihkan engkau, membedakkan engkau, menyisir rambut engkau dan menyuapkan engkau makan, mendapat tidur yang pulas dan lena setiap malam! Giliran engkau pula merayu doa untuk bidadari syurga itu, Chairil.

Lekuk bulan malam itu membiaskan rasa pilu yang tidak terungkap. Cahaya bintang luruh kemudian hilang dalam hujan. Chairil terus menyapa nama Sofea pada malam yang panjang itu. Dia malu untuk memohon pada Tuhan kesembuhan dan kelegaannya untuk kembali berjalan. Namun yang pasti, sebanyak air di laut, dia memohon Ya Rabb melimpahkan kasih sayang buat Sofea.

Aku akan sentiasa mencintai engkau, Pia. Dengan cara yang paling sunyi.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 1 Disember 2015 @ 5:15 AM
Skip this ad x