FOTO Arkib NSTP

Kuala Lumpur: Seorang saksi memberitahu Mahkamah Majistret di sini hari ini bahawa tertuduh kes curi telefon bimbit di Plaza Low Yat pada Julai lalu, telah mengambil telefon bimbit itu dan terus meninggalkan kedai telefon tersebut.

Bekas pekerja Techasia Boutique, See Ming Ho berkata, tertuduh Shahrul Anuar Abdul Aziz, mengambil telefon itu selepas beliau (See) berpusing ke belakang untuk mengambil hadiah percuma bagi pembelian telefon bimbit jenis Lenovo.

See berkata, selepas beliau bersetuju dengan harga diskaun yang ditawarkan tertuduh, beliau kemudian memusingkan badan untuk mengambil hadiah percuma itu, bagaimanapun ketika beliau berpusing semula, beliau melihat tertuduh telah meninggalkan kedai bersama telefon bimbit tersebut.

“Saya nampak dia ambil telefon dan meninggalkan kedai (di tingkat UG) dan saya lihat dia lari ke arah eskalator. Masa tu saya jerit pencuri! pencuri! pencuri! sebanyak tiga kali dan lihat dia terjatuh (sebaik menuruni eskalator ke tingkat bawah, iaitu G),” katanya.

Saksi pertama itu memberi keterangan pada perbicaraan hari pertama kes Shahrul Anuar, 22, seorang penganggur yang didakwa mencuri telefon bimbit berharga RM800 di Techasia Boutique, Plaza Low Yat, Bukit Bintang, pada 4.47 petang, 11 Julai lalu.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 10 tahun dan denda jika sabit kesalahan.

Menceritakan kejadian itu, See, 27, jurujual di kedai telefon Techasia Boutique dan bekerja di situ selama sebulan dari 5 Jun 2015 hingga 13 Julai 2015 berkata selepas itu beliau menjerit meminta tolong.

Beliau kemudiannya bergegas turun ke tingkat G dan melihat pekerja di sebuah kedai telefon lain menahan tertuduh dan tidak berapa lama kemudian pengawal keselamatan di plaza itu datang dan tertuduh dibawa ke bilik pengawal.

“Semasa saya berada di bilik pengawal keselamatan, saya tanya kepada tertuduh, bolehkah serah telefon itu kepada saya, lelaki itu berkata telefon itu tidak ada,” katanya dan menambah dia kemudian membuat laporan polis berhubung kejadian itu.

Ketika ditanya oleh seorang lagi Timbalan Pendakwa Raya S. Malini Anne mengenai bagaimana dia boleh begitu pasti tertuduh yang mencuri telefon itu, saksi itu berkata kerana dia yang menyerahkan telefon bimbit itu kepada tertuduh dan dia melihat tertuduh beredar dari kedai sambil memegang telefon bimbit itu.

Semasa pemeriksaan balas oleh peguam Nur Hayati Don Omar yang mewakili tertuduh, saksi itu berkata dia bersetuju dengan cadangan peguam itu bahawa kedainya terletak di tempat laluan orang ramai namun tidak bersetuju sesiapa sahaja boleh mengambil telefon itu dan beredar dari situ.

Kepada soalan balas peguam Tan Sri Abdul Aziz Abdul Rahman, saksi itu memberitahu dia tidak tahu di mana telefon bimbit itu berada selepas tertuduh jatuh dari eskalator.

“Saya tidak nampak telefon semasa saya sampai di situ (tempat tertuduh terjatuh).

“Saya nampak tertuduh berlari ke bawah kemudian dia terjatuh dari eskalator, (masa itu) saya nampak tertuduh dengan telefon, cuma (selepas tertuduh jatuh) telefon jatuh ke arah mana saya tak pasti,” katanya yang memberitahu terdapat ramai orang ketika itu.

Selain peguam Nur Hayati dan Abdul Aziz, tertuduh turut diwakili Mohd Khairul Azam Abdul Aziz dan Mohammad Yahya Zakaria.

Perbicaraan di hadapan Majistret Nur’Aminahtul Mardiah Md Nor bersambung esok. - Bernama

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 30 November 2015 @ 8:24 PM