SHAFIEN (tengah) menunjukkan antara barang rampasan selepas polis menahan geng pecah rumah minggu lalu. FOTO Na'imah Mohamed
Oleh Na'imah Mohamed
hmetroshahalam@hmetro.com.my


Shah Alam: Lebih 20 kes pecah rumah dan curi motosikal berjaya diselesaikan selepas dua kumpulan penjenayah ditahan dalam beberapa tangkapan berasingan sejak Selasa lalu di sekitar daerah ini.

Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Shafien Mamat berkata, dua kumpulan terbabit dikenali sebagai Geng Jeeva Rimba Jaya dan Geng Ahmad dipercayai menjalankan kegiatan itu sejak tiga bulan lalu di sekitar daerah itu.

"Polis berjaya menahan tiga lelaki berusia 18 hingga 26 tahun serta wanita warga Indonesia berusia 39 tahun pada Selasa lalu yang membawa kepada penemuan komponen motosikal yang sudah dileraikan disembunyikan di pangsapuri dekat sini dan kumpulan ini dikenali sebagai Geng Jeeva Rimba Jaya.

"Pada Jumaat lalu, kita menahan tiga lelaki berusia 23 hingga 29 tahun yang dikenali sebagai Geng Ahmad selepas dipercayai terbabit dalam lebih 10 kes pecah rumah di sekitar Seksyen 16 di sini," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam, di sini, hari ini.

Shafien berkata, nilai rampasan dianggarkan RM80,000 membabitkan puluhan motosikal, barangan elektrik, tong gas dan juga wang tunai.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 30 November 2015 @ 4:27 PM