BANYAK impian yang musnah apabila terpaksa menjadi ibu pada usia belasan tahun.
BUDAYA perkahwinan bawah umur tutup peluang remaja perempuan belajar.
Susunan Norlaila Hamima Jamaluddin
laila@hmetro.com.my


Impian remaja berusia 15 tahun, Ousseina untuk menjadi jururawat sudah terpadam.

“Tamat sudah zaman persekolahan saya,” kata remaja kurus yang menjual telur di gerai tepi jalan di bandar Maradi di selatan Niger dengan suara perlahan dan sayu.

Seperti gadis lain di negara miskin yang disempadani Gurun Sahara itu, Oussiena tidak mempunyai pilihan kecuali berkahwin pada usia muda.

“Perkahwinan saya? Selepas musim menuai, pada hujung November ini,” katanya dengan wajah muram sambil mengangkat bahu. Tubuhnya yang kurus dibaluti selendang biru langit.

Kesedihannya jelas terpamer kerana perkahwinannya itu bakal berlangsung tujuh bulan sebelum dia menduduki peperiksaan bagi mendapatkan sijil persekolahan satu-satunya laluan untuk meneruskan pengajian dan jika ada peluang, gadis ini mahu menjadi jururawat.

Wanita di Niger antara yang bernasib malang di dunia. Mana tidaknya, mereka dibelenggu budaya perkahwinan awal, saiz keluarga yang besar dan perlu hamil awal untuk mendapatkan zuriat.

Usaha Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan kumpulan pejuang hak asasi manusia yang giat memperkatakan kesan negatif ke atas badan remaja perempuan jika mengandung terlalu muda masih belum berjaya menembusi budaya di sini, bahkan mendapat tentangan hebat.

Sesetengah ahli agama mengecam inisiatif untuk menangguhkan perkahwinan dan menggalakkan kontraseptif (perancangan keluarga) yang dilabel sebagai ‘kerja syaitan yang dibawa oleh Barat’.

Tahun lalu, sesetengah organisasi Muslim me­ngancam untuk ‘menutup laluan’ sesiapa saja yang ‘cuba mencabar’ perkahwinan di bandar dan kampung perkahwinan dalam kalangan remaja perempuan yang disifatkan terlalu awal oleh aktivis wanita.

Malah masyarakat secara umumnya juga tidak menghiraukan peraturan yang menetapkan umur minimum untuk berkahwin bagi remaja perempuan iaitu 18 tahun.

Antara alasan yang paling kerap diberikan ialah persekolahan di mana pencapaian remaja perempuan biasanya tidak begitu memberangsangkan, jadi layaklah jika mereka dikahwinkan awal.

“Kalau hantar anak perempuan ke sekolah, ada kemungkinan dia balik membawa anak, bukan diploma,” kata pemandu motorteksi, Balla Issa.

Pemikiran seperti inilah yang menyentap dan menutup peluang pendidikan bagi wanita Niger. Berdasarkan data PBB, hanya empat daripada 10 kanak-kanak perempuan di negara itu dihantar ke sekolah dan dua daripada 10 yang berpeluang belajar hingga ke sekolah pertengahan. Peratusan ini merosot mendadak untuk sekolah menengah tinggi di mana hanya tiga daripada 100 yang berjaya sampai ke tahap itu.

“Remaja perempuan berkahwin pada usia semuda 15 tahun dan diberikan pasangan yang jauh lebih tua walaupun mereka membantah,” kata Mintou Moctar, bidan di Safo, sebuah perkampungan di selatan Maradi.

Statistik PBB menunjukkan perkahwinan paksa atau diatur di Niger amat membimbangkan di mana 30 peratus remaja perempuan berkahwin sebelum berusia 15 tahun dan 75 peratus sebelum mencecah usia 18 tahun. Data yang diperoleh melalui soal selidik kerajaan juga menunjukkan keputusan yang sama.

Faktor ekonomi juga sering digunakan oleh masyarakat setempat untuk membenarkan tindakan mereka. Di negara yang selalu dilanda kemarau, kekurangan makanan, ketidakcukupan zat dan 60 peratus rakyatnya hidup di bawah garis kemiskinan, mengahwinkan anak secepat mungkin dilihat satu tindakan wajar untuk meringankan beban keluarga, khususnya dalam kalangan penduduk luar bandar. Mengahwinkan anak bermakna sudah kurang satu mulut untuk diberi makan.

“Remaja lelaki akan berhijrah ke tempat lain tetapi remaja perempuan tidak boleh berbuat demikian. Kalau mereka berhijrah, risikonya lebih besar dan berkemungkinan remaja perempuan ini terjebak dalam kancah pelacuran,” kata petani, Malam Ada yang sudah mengahwinkan dua anak remajanya.

Janji kahwin

Dalam sesetengah kes, ibu bapa sudah mengatur perkahwinan anak perempuan ketika mereka masih menyusu (bayi), kata pegawai PBB yang sedih dengan budaya berkenaan.

“Anggapan perkahwinan awal (terlalu muda) sebagai penyelesai masalah tidak masuk akal,” kata Mamane Sani, doktor di Gabou, pekan di Maradi di mana keadaan berkenaan agak meruncing.

Ini kerana rahim remaja perempuan masih belum bersedia untuk menampung janin. Kehamilan pada usia yang sangat muda akan mendedahkan mereka kepada pelbagai masalah obstetrik terutama fistula (kehadiran laluan tidak normal yang menghubungkan dua organ dalam badan) dan kerosakan pada organ dalaman yang boleh menyebabkan masalah inkontinens (ketidakupayaan seseorang mengawal pembuangan najis atau air kencing atau kedua-duanya).

Keadaan ini biasanya membuatkan mangsa (remaja perempuan) disisihkan atau diabaikan. Apa yang membimbangkan ialah ia boleh menyebabkan jangkitan. Walaupun ada rawatan (pembedahan) untuk membetulkan keadaan itu, tetapi ia sesuatu yang sukar dicapai oleh penduduk di kawasan miskin.

Menurut Dana Bangsa-Bangsa Bersatu untuk Aktiviti Kependudukan (UNFPA), 48 peratus remaja perempuan yang berkahwin di bawah umur mempunyai fistula sebelum berusia 19 tahun.

“Apabila keadaan ini berlaku biasanya si isteri akan dihalau oleh suami manakala keluarga pula tidak mahu menerima mereka,” kata Saidou Issoufou, pegawai di Garim-Kouroum, pekan lain di Maradi.

Perkahwinan di bawah umur ini juga menyumbang kepada kadar kelahiran yang tinggi di Niger iaitu 7.6 anak bagi setiap wanita salah satu yang tertinggi di dunia berdasarkan data PBB.

Masalah tidak terhenti di situ saja kerana angka kelahiran ini bergandingan dengan jumlah kematian ketika bersalin yang tinggi di Niger juga yang tertinggi di dunia.

Agensi PBB antara yang paling giat menjalankan usaha untuk membawa perubahan kepada hidup wanita di negara itu dengan sokongan kerajaan. Filem mengenai risiko perkahwinan bawah umur ditunjukkan kepada penduduk kampung. Tabung Darurat Kanak-Kanak Antarabangsa Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF) juga sudah melatih sukarelawan untuk menyebarkan mesej berkenaan ke tempat terpencil.

Usaha selama sedekad itu bagaimanapun tidak membuahkan hasil yang diharapkan. Fatima Kako, ketua ONFAFEN, satu kumpulan yang menyertai 70 NGO dan persatuan wanita di Niger menyalahkan ‘kurangnya kehendak politik’ dan ‘kongkongan budaya, sosial dan agama’ yang membuatkan wanita bersikap pasif terhadap nasib sendiri.

“Kami akan terus berjuang untuk membebaskan wanita daripada belenggu ini. Kami tidak akan mengalah. Hari ini wanita yang lantang bercakap di televisyen diang­gap tidak beradab dan tidak bertanggungjawab.

“Tetapi ini sedikit pun tidak melemahkan semangat kami. Kami akan teruskan perjuangan ini... dan berharap akan dapat melihat perubahan positif beberapa tahun lagi,” katanya. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 30 November 2015 @ 5:12 AM