ARIL dan isteri kini bergelar ayah dan ibu.
SI kecil buah hati ayah dan ibu.
Oleh Wahi Aziz
wahiduzzaman@hmetro.com.my


Gembira, bersyukur dan segala rasa positif bertakhta dalam diri penyanyi dan usahawan, Aril Pilus sejak bergelar bapa buat pertama kali pada 24 November lalu.

Namun, ketika berkongsi khabar gembira kelahiran itu bersama RAP, baru-baru ini, Aril atau Khairil Azam Pilus, 30, mengakui terganggu dengan tahap kesihatan bayi lelakinya itu.

Katanya, biarpun zuriat yang belum diberi nama itu selamat dilahirkan dan sempurna sifatnya, bayi itu menghidap demam kuning dan itu mengusutkan fikirannya.

“Asalnya memang saya sangat gembira. Maklumlah saya sudah ada zuriat sekarang dan syukur apabila isteri serta anak selamat.

“Cuma saya sedih dan bimbang apabila selepas dua hari mereka dibenarkan pulang, tiba-tiba kesihatan anak merosot disebabkan demam kuning dan terpaksa masuk wad semula.

“Sudahlah kali pertama jadi bapa, panik saya dibuatnya. Tetapi, syukur sejak dirawat, anak saya beransur stabil sekarang,” katanya.

Aril berkata, anaknya itu dilahirkan secara normal pada jam 11.25 malam di Hospital Pusrawi Kuala Lumpur hasil perkahwinannya dengan pramugari, Puteri Erma Edlinda Megat Aminuddin, 29, pada 20 Disember 2013 di Kota Bharu, Kelantan.

Mengulas persamaan tarikh kelahiran anaknya dengan tarikh lahir ibunya, Normah Abdullah dan Allahyarham abangnya, penyanyi Izwan Pilus, Aril menganggap ia sebagai takdir terindah untuk mereka sekeluarga.

“Arwah sudah tiada, tapi tidak sangka pula dengan kuasa Allah, anak saya dilahirkan sama dengan tarikh kelahiran abang dan emak. Saya dan isteri pun tidak merancang anak itu lahir serentak dengan tarikh kelahiran mereka. Ini takdir sebab rupa-rupanya apabila abang ‘pergi’, galang gantinya adalah kelahiran anak saya,” katanya.

Bercerita lanjut, penyanyi lagu Bangkit ini berkata, dia belum sempat memutuskan nama yang bakal diberikan kepada anaknya lantaran keadaan itu.

Malah, finalis Akademi Fantasia musim ketujuh ini juga belum bersedia mendedahkan gambar anak itu lagi atas permintaan ibunya, Normah.

“Bukan tidak mahu berkongsi kepada umum, tapi masih terlalu awal. Biar bayi sihat dulu dan keadaan kembali stabil, sedap sikit hendak dedahkan. Lagi pun emak saya juga tidak galakkan berbuat demikian ketika ini sampai anak betul-betul okey. Apabila kena masanya, sudah tentu saya akan dedahkan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 30 November 2015 @ 5:02 AM