ROHIT berucap ketika melancarkan Pelan Rangsangan Pendidikan INTI di Menara KH.
Oleh Nor Hanisah Kamaruzaman
rencana@hmetro.com.my


Dalam menghadapi cabaran ekonomi tidak menentu masa kini, akses untuk mengikuti pengajian tinggi semakin mencabar.

Berikutan itu, INTI International University & Colleges (INTI) mengambil inisiatif menyediakan Pelan Rangsangan Pendidikan yang bukan saja mengurangkan beban kewangan, malah memberi peluang kepada pelajar baru menyambung pengajian ke peringkat tinggi.

Antara usaha diambil bagi mengharungi suasana ekonomi yang semakin mencabar ialah menyediakan program baru iaitu Ijazah Sarjana Muda Sastera (Pentadbiran Perniagaan) dan Diploma Pengurusan Perniagaan.

Ketua Pegawai Eksekutif INTI, Rohit Sharma berkata, kedua-dua program itu diwujudkan khas untuk pelajar yang bekerja selepas peperiksaan SPM dan diploma dengan mengurangkan waktu kuliah di kampus, sebaliknya menambah waktu pembelajaran secara dalam talian (online).

“Kami faham ramai mula bekerja selepas menduduki SPM dan ada juga yang terus bekerja selepas mendapat diploma berikutan situasi ekonomi dan kedudukan kewangan setiap keluarga berbeza.

“Dengan memanfaatkan teknologi, kedua-dua program baru ini diharap mampu membantu golongan itu mendapat pendidikan peringkat diploma dan ijazah sarjana muda sambil meneruskan pekerjaan,” katanya.

Selain itu, INTI juga menyediakan penyelesaian inovatif bersama rakan kongsi antarabangsanya. Menerusi kerjasama itu, pelajar boleh berjimat sehingga 65 peratus jika melanjutkan pengajian ke luar negara.

INTI juga bekerjasama dengan Torrens University Australia yang menawarkan penjimatan kos sehingga 40 peratus, selain tempoh pembelajaran lebih singkat membolehkan pelajar memasuki alam pekerjaan lebih awal berbanding rakan sebaya lain.

Pelan Rangsangan Pendidikan INTI bukan saja membantu pelajar baru, malah pelajar sedia ada mampu menangani kekangan kewangan dengan menyediakan pakej bersesuaian.

Pakej berkenaan membolehkan pelajar membayar yuran melalui skim bayaran bulanan tanpa faedah. Ia dapat mengurangkan beban pelajar yang tidak mampu membayar yuran pengajian sekali gus pada awal semester. Bayaran ansuran juga boleh dibuat menggunakan kad kredit.

“Pelan berkenaan adalah inisiatif dan strategi jangka panjang INTI bagi membantu pelajar mendapat pendidikan tinggi dan kami sentiasa berusaha menyediakan penyelesaian terbaik dari semasa ke semasa,” kata Rohit.

INTI antara pusat pengajian tinggi di bawah rangkaian Laureate International Universities. Malumat lanjut boleh layari laman web www.newinti.edu.my.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 30 November 2015 @ 4:42 AM