SULTAN Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar berkenan beramah mesra bersama rakyat ketika di Majlis Jamuan Deepavali Bangsa Johor di Dataran Tasik Kluang, Johor, 28 November. FOTO Syarafiq Abd Samad
Oleh Mary Victoria Dass
maryvictoria@hmetro.com.my

Nusajaya: Jabatan Kesihatan Johor diminta menyediakan kertas cadangan berkaitan pengharaman vape untuk dipertimbangkan pihak berkaitan.

Ini berikutan titah Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar, yang mahu mengharamkan penggunaannya berkuatkuasa, Januari 2016.

Setiausaha Kerajaan Negeri Johor, Datuk Ismail Karim, berkata Sultan Ibrahim bertitah secara lisan berkaitan perkara itu, semalam.

Beliau berkata, pihaknya yakin sebulan mencukupi bagi penyediaan kertas cadangan itu.

Menurutnya, pandangan bersesuaian juga akan dipertimbangkan dalam tempoh berkenaan.

"Ia belum dikuatkuasa dan tindakan sesuai akan dilakukan oleh Jabatan Kesihatan Johor termasuk mengemukakan kertas cadangan untuk dipertimbangkan," katanya ketika ditemui di Kota Iskandar.

Ismail berkata demikian sebagai mengulas laporan akhbar berbahasa Inggeris, hari ini, yang memetik kehendak Sultan Ibrahim untuk mengharamkan penggunaan vape seluruh Johor.

Baginda juga dikatakan memberi sebulan kepada pengusaha premis peranti berkenaan untuk menamatkan operasi dan enggan mendengar sebarang alasan.

Baginda juga mengarahkan supaya kerajaan negeri bersidang, minggu depan, untuk merangka perancangan untuk memudahkan proses itu.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 29 November 2015 @ 2:56 PM