Oleh Ahmad Saufi Mansor
opie@hmetro.com.my

Alor Setar: Raja Muda Kedah, Tunku Abdul Malik Sultan Badlishah, mangkat akibat gering pada usia 86 tahun, di Wad Diraja Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), di sini, pagi ini.

Difahamkan, Almarhum menghembuskan nafas terakhir kira-kira 1 pagi akibat sakit tua.

Menteri Besar, Datuk Seri Mukhriz Mahathir, berkata jenazah Almarhum akan disembahyangkan di Dewan Penghadapan Istana Anak Bukit, dekat sini, 1 tengah hari ini.

Menurutnya, orang ramai boleh menziarahi jenazah Almarhum sebagai penghormatan terakhir, antara 1.30 tengah hari hingga 2.30 petang, manakala untuk kenamaan, antara 2.30-3.30 petang.

Katanya, jenazah Almarhum dijangka disemadikan di Makam Diraja Langgar, pada 4.45 petang.

"Semua bendera akan dikibarkan separuh tiang tiga hari, bermula hari ini, manakala tempoh berkabung tujuh hari hingga Sabtu depan.

"Sepanjang tempoh berkabung semua acara hiburan dan perayaan mahupun keramaian adalah dibatalkan.

"Saya bagi pihak kerajaan negeri mengucapkan takziah atas kemangkatan baginda," katanya pada sidang media di Wisma Darulaman, di sini. hari ini.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 29 November 2015 @ 10:52 AM