Oleh Rosli Ilham
am@hmetro.com.my

Kemaman: Pengawal keselamatan maut manakala dua rakannya cedera, seroang daripadanya parah dalam kemalangan di Kilometer 121, Jalan Kuala Terengganu-Kuantan, dekat Kemasik, kira-kira 1 pagi ini.

Norhazawi Awang, 39 dari Kampung Baru Kerteh meninggal serta merta di tempat kejadian.

Rakannya yang masih belum diperolehi identitinya dilaporkan kritikal manakala seorang lagi mengalami cedera.

Jenazah mangsa yang bertugas di Perwaja Steel itu dibawa ke Forensik Hospital Kemaman manakala dua rakannya yang parah dan cedera dihantar ke Hospital sama untuk rawatan lanjut.

Siasatan awal dipercayai berlaku apabila kereta dinaiki tiga sahabat terbabit dipercayai membuat pusingan-U sebelum dirempuh bas ekspress yang datang dari arah yang sama.

Pemandu bas, Wan Norhisham Wan Hussin,41, berkata ketika kejadian dia membawa 40 penumpang dari Setiu Terengganu menuju Kuala Lumpur.

Katanya, setiba di tempat kejadian dia terkejut apabila mendapati kereta terbabit yang sebelah kirinya tiba-tiba membuat pusingan-U.

"Saya terkejut dan terus menekan brek. Tapi, tak sempat. Bas saya pandu itu menyeret kereta itu kira-kira 80 meter," katanya ketika ditemui di tempat kejadian.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 29 November 2015 @ 9:05 AM
FOTO Rosli Ilham