KIA Rio Sedan baharu.
Oleh Erywan Norshal
erywan@hmetro.com.my


Naza Kia Malaysia buat kali pertama mempertontonkan kereta segmen B menerusi Kia Rio Sedan yang disasarkan kepada golongan muda bersesuaian dengan gaya hidup mereka.

Jentera yang menerima sambutan hebat pada pering­kat global itu kini sudah dijual mencecah dua juta unit sejak mula diperkenalkan.

Ketua Pegawai Operasi Kumpulan Automotif, Naza Corporation Holdings, Datuk Samson Anand George berkata, beliau yakin Kia Rio Sedan berpotensi menembusi pasaran segmen B yang semakin meningkat berikutan memiliki gaya canggih.

“Pada masa sama, kami menjangkakan kenderaan itu bakal menyumbang kepada prestasi jualan Naza Kia Malaysia pada 2016.

“Kia Rio Sedan turut menawarkan tahap penggunaan bahan api yang cekap dengan ciri keselamatan terbaik untuk memenuhi gaya hidup dan imej bakal pemiliknya,” katanya.

Bagi memacukan kereta itu, ia dipadankan enjin bersesaran 1.4 liter yang menyalurkan kuasa maksimum 109PS dan tork setinggi 137Nm dengan menggunakan transmisi automatik empat kelajuan.

Penampilannya diceriakan dengan jeriji hidung harimau turut didatangkan bersama lampu siang (DRL) bagi memberi penglihatan optimum.

Ruang kabinnya diserikan dengan stereng teleskopik dengan butang kawalan audio. Sistem audio dilengkapi enam pembesar suara yang turut mempunyai kapasiti penyimpan memori sehingga 800MB dan boleh disambung menerusi USB, CD, MP3, RDS dan AUX.

Kia Rio Sedan hadir dengan empat warna menarik membabitkan putih, perak, biru dan merah serta ditawarkan jaminan lima tahun tanpa had perbatuan.

Ia ditawarkan pada harga RM73,000 termasuk insurans di mana tempahannya sudah dibuka kepada orang ramai dan penghantaran pertama akan dibuat pada awal tahun depan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 29 November 2015 @ 5:01 AM