RUMAH mampu milik hanya dapat direalisasikan apabila kos pemilikan tanah menjadi murah.
Oleh Sofyan Rizal Ishak
sofyan.rizal@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Kenaikan harga hartanah pada masa ini menyaksikan ramai individu dan rakyat di negara ini tidak mampu memiliki rumah termasuk rumah mampu milik ekoran sebahagian besar pembayaran hanya berkisar kepada pinjaman perumahan.

Perkara itu menyebabkan kebanyakan individu tidak memiliki keupayaan atau wang lebihan untuk membiayai kos lain berkaitan rumah sehingga menyebabkan mereka terpaksa menangguh dahulu hasrat memiliki rumah impian masing-masing.

Secara lazimnya, ramai yang beranggapan peningkatan itu tercetus ekoran pelbagai faktor seperti situasi pasaran yang dilihat membenarkan harga rumah meningkat disebabkan pengguna rela dan sanggup membeli rumah pada harga ditetapkan.

Walau apapun faktor itu, peningkatan hartanah ini perlu dilihat banyak bergantung kepada asas utamanya iaitu tanah di mana harga tanah masa kini dilihat melambung tinggi terutama di bandar berikutan kedudukan strategiknya.

Menyedari senario semasa ini, kerajaan perlu mewartakan sebanyak mana tanah di kawasan bandar untuk memastikan ia dapat digunakan untuk pembinaan lebih banyak rumah mampu milik, sekali gus mampu mengawal peningkatan semasa harga rumah di negara ini.

Presiden Persatuan Perunding dan Ejen Hartanah Muslim Malaysia (PEHAM), Ishak Ismail berkata, perkara itu perlu dilaksanakan memandangkan harga tanah ini melambung tinggi sehingga menyebabkan harga rumah semakin mahal.

“Saya lihat pemaju terpaksa meningkatkan harga rumah untuk menangani kos pemilikan tanah ini dan kerajaan disarankan supaya mengawal kenaikan harga tanah ini,” katanya.

Beliau berkata, harga tanah tinggi juga akan menyebabkan pembinaan rumah mampu milik akan menjadi perlahan kerana agensi seperti Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB), Jabatan Perumahan Negara dan Perumahan Rakyat 1Malaysia (PR1MA) terpaksa menanggung kos sama untuk memiliki tanah bagi tujuan pembinaan.

“Sebagai contoh, kita sepatutnya boleh membina lebih banyak rumah mampu milik dalam kuantiti lebih banyak jika mampu mendapatkan tanah lebih murah, namun ia akan terhalang disebabkan harga tanah yang melambung,” katanya.

Pada masa sama, kerajaan negeri diseru supaya berhenti dalam menjadikan tanah sebagai punca pendapatan utama masing-masing kerana sebelum ini terdapat segelintir daripada mereka mengenakan kadar caj tinggi kepada pemaju untuk memiliki tanah terbabit.

“Secara lazimnya, terdapat caj apabila sesebuah syarikat pemaju ingin menukar status tanah pertanian kepada perumahan di mana kebanyakan daripada mereka mengenakan kos tinggi dan ia menyebabkan pemaju terpaksa melepaskan beban kos itu kepada pembeli rumah,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 28 November 2015 @ 6:36 AM