SEORANG pendatang mendukung anaknya selepas menyeberangi sempadan dari Greece ke Macedonia, semalam.

Ankara: Sekurang-kurangnya enam kanak-kanak mati lemas dalam dua kejadian berasingan apabila bot yang mereka naiki karam di luar pantai Turki ketika dalam pelayaran ke Greece, semalam.

Menurut agensi berita Anatolia, bot pertama yang dinaiki 55 pendatang Syria dan Afghanistan karam akibat angin kencang dan ombak besar di Laut Aegean sejurus selepas meninggalkan bandar Ayvacik untuk ke pulau Lesbos di Greece.

Pengawal pantai Turki dilapor menemui empat mayat kanak-kanak Afghanistan setakat ini.

Sementara itu, dua lagi kanak-kanak maut apabila kapal yang mereka naiki menuju ke Pulau Kos, juga di Greece karam berhampiran bandar peranginan Bodrum, barat daya Turki.

Bot terbabit karam selepas menempuh hujan lebat dan cuaca buruk.

Turki yang menempatkan 2.2 juta pelarian Syria kini menjadi tempat persinggahan utama mereka yang melarikan diri dari peperangan dan kemiskinan untuk mencari kehidupan lebih baik di Eropah. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 28 November 2015 @ 6:15 AM