SHIHA (tengah) bersama wakil Malaysia.
Oleh Sudirman Mohd Tahir
sudirman@hmetro.com.my


Mungkin ramai tidak tahu penyanyi Shiha Zikir, 28, kini berada di Jakarta, Indonesia bagi mewakili Malaysia dalam program realiti D’ Academy Asia.

Dahulunya program ini terbuka kepada warga Indonesia sahaja dan dikenali sebagai Dangdut Academy.

Bagaimanapun, selepas beberapa musim stesen TV Indosiar memperkenalkan program ini ke peringkat Asia membabitkan empat negara iaitu Indonesia, Malaysia, Singapura dan Brunei.

Menurut Shiha atau nama sebenarnya Nurshiha Mohd Zikir, dia menyertai program ini kerana ia memberi peluang kepada peserta untuk menyanyikan lagu irama Melayu dan bukan dangdut semata-mata.

“Saya berbesar hati menyertai pertandingan ini bukan sahaja kerana jenamanya, malah lagu-lagu yang perlu dinyanyikan juga tidak terhad kepada genre dangdut.

“Bermakna saya boleh menyanyikan pelbagai irama lagu Melayu dan kerana itu pada konsert pertama saya memilih lagu Nirmala,” katanya.

Lebih menarik, Shiha yang berada dalam kumpulan B bersama tiga peserta dari setiap negara memperoleh markah keseluruhan tertinggi sebanyak 685 menerusi dua persembahan.

“Saya tak boleh bersikap terlalu selesa, malah perlu melalui banyak lagi peringkat. Apatah lagi hanya dua peserta layak mara ke pentas akhir.

“Semua peserta hebat menyanyikan lagu dangdut sedangkan itu bukan genre saya. Sedikit sebanyak ia membuatkan saya gementar. Bagaimanapun, saya tetap buat yang terbaik untuk diri dan negara,” katanya.

Pada konsert penentuan kumpulan B, Shiha menyanyikan lagu Ratapan Anak Tiri dendangan asal Iis Dahlia.

Persembahannya itu mendapat pujian daripada semua pengkritik sehingga ada menitiskan air mata.

“Saya memilih Ratapan Anak Tiri kerana ia lagu kegemaran arwah ayah. Ketika saya kecil dia selalu menyanyikan lagu ini depan saya.

“Ketika menyampaikan lagu ini saya membayangkan arwah. Cukup banyak kenangan bersamanya. Malah, semasa hayatnya, dia nak sangat melihat saya bergelar penyanyi namun tak kesampaian,” katanya.

Akui Shiha, pengalaman yang diraih selama ini memberi kelebihan kepadanya untuk memberikan persembahan bermutu berbanding peserta lain.

“Pengalaman menyertai pertandingan nyanyian dan menjayakan persembahan pentas banyak membantu saya dalam pertandingan ini.

“Pun begitu saya tak boleh pandang rendah kemampuan peserta lain. Meskipun ada antara mereka bukan artis, vokal mereka lebih bagus daripada penyanyi sedia ada terutama ketika menyanyikan lagu dangdut,” katanya.

Selepas mempamerkan persembahan cemerlang, nama Shiha mula meniti di bibir pencinta muzik Indonesia, malah mula mengumpul pengikut tersendiri.

“Sepanjang berada di sini (Indonesia) sejak tiga minggu lalu, pengikut di Instagram meningkat 30,000 orang. Kebanyakannya adalah orang Indonesia.

“Ia diluar jangkaan dan sungguh mengejutkan. Saya turut terharu dengan sokongan yang diberikan. Komen mereka sangat membina,” katanya.

Sekalipun terbabit dalam program berkonsep dangdut, Shiha mahu dikenali sebagai penyanyi balada.

“Jiwa dan keutamaan saya masih balada dan irama tradisional. Kalau nak menyanyikan lagu dangdut pun sekadar sampingan.

“Namun saya tak menolak jika rezeki saya selepas ini lebih kepada genre dangdut,” katanya.

Selain Shiha, program ini turut disertai Mimi One Nation Emcee, Hazman, Fitri Hiswady dan Syuhada.

Semua 20 peserta dibahagikan kepada lima kumpulan dan perlu membuat dua persembahan sebelum berdepan episod penyingkiran.

Format pertandingan pula berdasarkan penjurian 100 peratus daripada juri profesional.

Setiap negara perlu menghantar dua juri. Malaysia diwakili Datuk Suhaimi atau Pak Ngah dan Zul 2 By 2.

Sehingga kedudukan top 10, semua peserta perlu berentap bagi merebut dua tempat ke peringkat akhir.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 27 November 2015 @ 11:02 AM