Oleh Ridzuan Abdul Rahman
mohamadridzuan@hmetro.com.my


Ketika usahanya mencipta nama dalam industri muzik menerusi lagu duet berjudul Keluhan Cinta bersama Mamat Exist hampir berjaya, Ikka Razman berdepan ujian apabila dipermainkan bekas pengurus sendiri.

Bagaimanapun, bekas anggota Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) serta anggota kumpulan Gelombang Biru ini tidak pernah putus asa mencuba nasib.

Dia kini bangkit semula dan tampil dengan single terbaru berjudul Kerana Cinta Abadi ciptaan Mahzan B.

“Banyak ujian yang saya lalui, malah syarikat Ikka Razman Sweet Entertainment Production (IRSEP) sudah dibubarkan dan saya sekarang bergerak sendiri sejak tiga bulan lalu.

“Lima tahun IRSEP ditubuhkan, namun akhirnya berkubur begitu saja. Sudah tentu saya kecewa kerana saya berikan kepercayaan kepada individu berkenaan, tapi rupa-rupanya dia tak amanah.

“Dia janjikan macam-macam untuk menaikkan nama saya, namun semuanya kosong belaka. Saya kenal dia ketika menjayakan satu persembahan.

“Kata-katanya memang manis hingga saya tertarik dan ikut segala perancangannya. Setahun dengannya, saya tak nampak langsung apa yang dibuatnya,” katanya.

Lebih memburukkan keadaan apabila bekas pengurusnya memburukkan namanya kepada penganjur persembahan hingga mereka enggan menawarkan peluang buat Ikka.

“Saya pernah dengar penganjur takut ambil saya kerana bimbang diganggu individu ini. Dia juga ambil kesempatan burukkan saya kepada semua orang.

“Puncanya hanya kerana duit dan dia menyimpan perasaan terhadap saya. Saya pula anggap dia sebagai pengurus dan tak lebih daripada itu. Saya hanya fikir nak berjaya dalam karier,” katanya.

Menurutnya, dia menyerahkan segala urusan bulat-bulat termasuk soal pengaliran wang tunai kepada individu terbabit hingga akaun bank miliknya kosong.

Kini Ikka diuruskan Rina, pengurus penyanyi popular Indonesia Thomas Arya yang banyak memberinya semangat.

“Banyak kata-kata positif yang Rina berikan dan ini membuatkan saya kembali bersemangat untuk meneruskan karier nyanyian. Dia buka peluang untuk saya merakam album dengan sebuah syarikat di Singapura,”katanya yang akan berduet dengan Thomas.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 27 November 2015 @ 10:54 AM