MENTERI Perdagangan Antarabangsa dan Industri II, Datuk Seri Ong Ka Chuan (dua dari kanan) pada majlis pelancaran Nissan NP300 Navara, semalam.

Shah Alam: Edaran Tan Chong Motor Sdn Bhd (ETCM) yakin kehadiran model trak pikap baharu, Nissan NP300 Navara mampu menguasai pasaran dalam segmen trak pikap sehingga 15 peratus pada tahun depan.

Pengarah Eksekutifnya, Datuk Dr Ang Bon Beng berkata, trak pikap itu kini menerima pratempahan lebih 1,000 unit sejak dibuka pertengahan Oktober lalu.

Menurutnya, maklum balas memberangsangkan itu, sekali gus menempatkan trak pikap berkenaan sebagai pesaing utama dalam segmen terbabit di negara ini.

“Ia juga memiliki fleksibiliti untuk menjadikan kenderaan boleh dipercayai serta lasak dalam melaksanakan tugasnya.

“Pada masa sama, kami akan meningkatkan penguasaan pasaran jualan ETCM sehingga lapan peratus tahun depan biarpun keadaan industri automotif dilihat semakin mencabar,” katanya selepas melancarkan Nissan NP300 Navara, dekat sini, semalam.

Trak pikap yang diimport sepenuhnya dari Thailand ditawarkan dalam enam varian. Model itu menjadi model pertama trak pikap jenama Jepun menggunakan suspensi belakang jenis multi-link yang menawarkan pengendalian seperti kenderaan utiliti sukan (SUV).

Ia dikuasai enjin 2.5L YD25DDTi dengan sistem geometri boleh ubah (VGS) turbo intercooler serta padanan transmisi automatik tujuh kelajuan bersama mod manual. Ia dijual antara RM81,780 sehingga RM124,737.60 atas jalan termasuk insurans dan turut ditawarkan jaminan tiga tahun atau 100,000 kilometer.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 27 November 2015 @ 6:48 AM