Oleh Murni Wan Omar
murni@hmetro.com.my


Kuala Lumpur: Remaja perempuan yang menikam leher bapanya kerana marah apabila dilarang daripada terus menjalin hubungan dengan seorang gadis Ahad lalu, tidak mengaku bersalah di Mahkamah Majistret di sini, sebentar tadi, atas pertuduhan menikam bapanya dengan pisau.

Lum Kar Yee, 18, memohon dibicarakan selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Nur A'minahtul Mardiah Md Noor.

Tertuduh didakwa dengan sengaja mendatangkan kecederaan menggunakan pisau terhadap bapanya, Lum Su Hai, 45, di sebuah rumah di Taman Desa Bakti, Jinjang, di sini, jam 10.30 pagi, Ahad lalu.

Bagi perbuatan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum tiga tahun atau denda atau sebat, atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Dalam prosiding tadi, mahkamah membenarkan permohonan peguam Farhan Read yang mewakili Lum supaya anak guamnya dihantar ke hospital bagi mendapatkan penilaian psikiatri.

Mahkamah menetapkan 11 Januari depan untuk sebutan semula.

Sebelum ini media melaporkan Ketua Polis Daerah Sentul Asisten Komisioner R Munusamy berkata, kejadian dipercayai berlaku kerana remaja perempuan itu yang masih belajar, tidak berpuas hati apabila bapanya tidak merestui hubungannya dengan seorang gadis.

"Siasatan awal mendapati ketika pertelingkahan berlaku, suspek dikatakan mengambil sebilah pisau pemotong sayur bertindak menikam bapanya,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 26 November 2015 @ 4:51 PM