OZIL (kanan) jaring gol pertama Arsenal.

London: Arsenal menghidupkan peluang untuk layak ke kelompok 16 pasukan terakhir Liga Juara-Juara apabila Alexis Sanchez memberikan inspirasi yang membolehkan pasukannya menang 3-0 ke atas Dinamo Zagreb.

Skuad kendalian Arsene Wenger berdepan risiko tersingkir kali pertama di peringkat kumpulan selepas tewas tiga daripada empat perlawanan awal Kumpulan F.

Namun pemain sayap Chile Sanchez menjadi tonggak yang menghasilkan kemenangan semalam dan ketika Bayern Munich menang 4-0 ke atas Olympiakos, Arsenal sedar mereka masih boleh layak ke peringkat kalah mati buat kali ke-16 berturut-turut.

Sanchez membantu Mesut Ozil menghasilkan gol pembukaan di Stadium Emirates sebelum dia menghasilkan gol kedua pada hujung babak pertama dan melengkapkan kejayaan bermakna Gunners menerusi jaringan kedua peribadi yang juga gol ketiga pasukan pada babak kedua.

Bagaimanapun, Gunners masih ada tugas yang perlu dilaksanakan dan perlu menang ke atas Olympiakos, 9 Disember ini jika mahu melangkah ke peringkat kalah mati.

Olympiakos yang menduduki tangga kedua dan menang 3-2 ketika kedua-dua pasukan bertemu sebelum ini, mengumpul lebih tiga mata berbanding Arsenal dan kelab utara London itu akan hanya layak jika menang di Greece dengan jaringan besar.

Walaupun ia kelihatan sukar, Arsenal pasti sudah bersedia untuk menghadapinya dan kekuatan mereka sudah dibuktikan ketika mengalahkan Dinamo sedangkan lawan pernah mengatasi mereka 2-1 September lalu.

“Ia menjanjikan pertemuan menarik menentang Olympiakos, tapi setidak-tidaknya kami masih berpeluang,” kata Wenger.

“Kami akan melakukan segala-galanya untuk kekal dalam saingan Liga Juara-Juara.”

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 26 November 2015 @ 11:18 AM