Lim (dua dari kiri) bersama Charlie Tan (tiga dai kanan) menunjukkan aneka bentuk koleksi bekas kaca pada majlis program penebusan kumpulan The Store yang diadakan di Pacific Alor Setar Mall.
Oleh Ahmad Saufi Mansor
opie@hmetro.com.my

Alor Setar: Kumpulan The Store melancarkan program penebusan koleksi bekas kaca jenama Gorme buatan Jerman dalam lima aneka bentuk menerusi rangkaian pasar raya di seluruh negara sebagai ganjaran kepada pelanggan setia mereka.

Pengarah Eksekutif Pasar Raya Besar dan Gedung Serbaneka Pacific, Charlie Tan berkata, pihaknya sentiasa bersedia untuk memenuhi keperluan pelanggan dengan menawarkan promosi menarik dan ganjaran menakjubkan.

Menurutnya, program penebusan itu menawarkan lima aneka bekas kaca pada harga istimewa sebagai koleksi yang dijual di semua rangkaian pasar raya The Store dan Pacific bermula sejak 13 November lalu hingga 21 Februari depan.

“Pelanggan hanya perlu berbelanja RM30 dalam satu resit bagi melayakkan memperoleh satu pelekat dan mereka perlu mengumpul lima pelekat untuk membeli salah satu daripada lima reka bentuk bekas kaca bermutu tinggi dengan penjimatan sehingga 80 peratus,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika melancarkan program penebusan koleksi bekas kaca berkenaan sempena majlis penyampaian hadiah ‘Ganjaran Lumayan Ulang Tahun’ di Pacific Alor Setar Mall, di sini, baru-baru ini.

Hadir sama, Pengurus Besar Kumpulan The Store, Lim Kok Soon dan Penolong Pengurus Besar Pacific, Wong Choay Leng.

Katanya, orang ramai boleh melayari laman web Kumpulan The Store www.tstore.com.my atau Facebook www.facebook.com/TheStoreMy atau www.facebook.com/PacificMys untuk mendapatkan maklumat lanjut.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 26 November 2015 @ 6:44 AM