ISTERI penyokong kuat kerjaya Ezad sebagai penyanyi.
Oleh Syafil Syazwan Jefri
syafil.syazwan@hmetro.com.my


Satu ketika dahulu, dia disanjung sebagai vokalis kumpulan Exists. Kini, Ezad Lazim, 36, merancang mengembangkan kerjayanya sebagai penyanyi solo.

Sambutan hangat peminat terhadap single yang menampilkan RJ iaitu Hati Mati dan Waris (Cinta Terakhir) menyuntik keyakinan dalam diri bahawa dia mampu bergerak solo.

“Alhamdulillah, Hati Mati dan Cinta Terakhir diterima peminat. Single seterusnya sudah siap, namun belum ada judul.

“Ia sepatutnya keluar beberapa bulan lalu, tetapi apabila ditawarkan menyertai Gegar Vaganza 2, saya buat keputusan untuk menangguhkan pelancaran,” kata pemilik nama sebenar Mohd Rohaizad Mohamad Lazim ini.

Seiring dengan peredaran zaman, Ezad turut menggunakan laman sosial sebagai satu daripada cara berinteraksi dengan peminat.

“Alhamdulillah, ramai juga pengikut saya di laman sosial. Dengan adanya teknologi ini mudah untuk saya melihat reaksi dan membalas komen peminat.

“Impak program Gegar Vaganza 2 sangat besar. Kalau dulu jumlah pengikut baru hanya beberapa ratus setiap hari.

“Kini, jumlah meningkat 2,000 pengikut setiap hari,” katanya.

Menurut Ezad, dia juga gembira apabila sudah ada kelab peminat iaitu Team Ezad Lazim.

“Ketua kelab Team Ezad Lazim saya kenal melalui Facebook. Kelab ini menguruskan semua aktiviti berkaitan dan saling bertukar idea dengan saya untuk persembahan,” katanya.

Selain peminat, Ezad turut berterima kasih kepada keluarga dan isteri yang tidak putus-putus menyokong usahanya.

“Walaupun kesihatan isteri saya kurang memuaskan, dia selalu mencurahkan idea untuk persembahan saya. Isteri saya turut bertindak sebagai pengkritik tetap dan kata-katanya memang pedas. Kalau tak bagus, dia akan cakap tak bagus dan begitu sebaliknya,” kata Ezad.

Ditanya mengenai perkembangan Nor Azeana Ramli, 36, yang menghidap ketumbuhan Stroma Gastrousus (GIST), Ezad memaklumkan suri hidupnya itu sudah menjalani pemeriksaan imbasan dan menanti keputusan pakar.

Mengulas mengenai konsert Blue Jeans yang menggabungkan Exists, May dan Blues Gang, Ezad berkata, ia akan berlangsung pada 30 Disember depan.

“Sepatutnya konserti ini diadakan pada 23 hingga 25 Oktober lalu, tetapi terpaksa ditunda kerana memberi laluan kepada konsert besar lain.

“Tarikh baru yang dimaklumkan adalah pada 30 Disember depan dan mungkin ada perubahan.

Apa pun, saya berharap konsert Blue Jeans ini dapat sambutan menggalakkan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 25 November 2015 @ 11:29 AM