Oleh Hafiz Ithnin
hafizithnin@mediaprima.com.my

Kuala Lumpur: Industri pembinaan negara dijangka berkembang pada kadar 10.6 peratus dan menyumbang kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sekitar empat hingga enam peratus tahun depan berbanding empat peratus tahun ini.

Perkembangan positif industri itu bakal dirangsang menerusi pelaksanaan pelbagai projek yang akan dibangunkan secara berterusan sehingga tahun depan terutama membabitkan projek berskala besar sama ada oleh pihak swasta atau kerajaan.

Menteri Kerja Raya Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, antara projek pembangunan yang dijangka merangsang pertumbuhan itu adalah projek pembinaan Lebuhraya Pan Borneo, Transit Aliran Massa (MRT) dan Tun Razak Exchange (TRX).

Beliau berkata, pembangunan projek kediaman yang dilaksanakan kerajaan seperti penambahan jumlah Perumahan Rakyat 1Malaysia (PR1MA) juga mampu memacu pertumbuhan berkenaan.

“Dengan adanya pelaksanaan projek pembangunan yang dilaksanakan kerajaan dan swasta, ia mampu membantu industri pembinaan mengekalkan prestasi pertumbuhan dua digit setiap tahun dan kita optimis menjelang akhir 2015, prestasi pertumbuhan pada kadar sama.

“Pada masa sama kita juga agresif untuk membangunkan tenaga kerja pakar dalam industri pembinaan yang dilihat mampu mengurangkan kebergantungan negara kepada tenaga kerja asing,” katanya pada Majlis Graduasi Akademi Binaan Malaysia (ABM) di sini, semalam.

Dalam majlis itu, seramai 309 graduan ABM dari Kampus Wilayah Tengah, Timur, Utara dan Selatan menerima Sijil Kecekapan Kemahiran (SKK) dalam 11 bidang kemahiran yang memenuhi kehendak dan keperluan industri antaranya kursus draf arkitektur dan operasi backhoe loader.

Dalam pada itu, Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CODB) dan Institut Petroleum PETRONAS (ISNTEP) serta Pihak Berkuasa Pembangunan Tenaga Lestari turut menjalinkan kerjasama bagi memperkukuhkan latihan di ABM dengan memperkenalkan tiga kursus kemahiran baru iaitu juruteknik habitat, mechanical fitter serta pemasangan sistem solar pada tahun depan membabitkan 1,270 belia.

Fadillah berkata, kursus ditawarkan ABM berbentuk latihan teknikal dan vokasional (TVET) dikenal pasti sebagai salah satu teras utama dalam Rancangan Malaysia ke-11 iaitu meningkatkan pembangunan modal insan untuk negara maju.

“Ini kerana sebanyak 60 peratus daripada 1.5 juta pekerjaan yang akan wujud di dalam RMK-11 dijangka memerlukan kelayakan berkaitan TVET,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 25 November 2015 @ 6:55 AM