WAN Mohd Fadzlullah (kanan) bersama Dr Ab Mumin (kiri) pada pelancaran pelan takaful, i-Care Al-Amin.

Kuala Lumpur: Hong Leong MSIG Takaful (HLM Takaful) menyasarkan lebih daripada 70 peratus golongan ibu bapa daripada generasi Y untuk menyertai produk baru Takaful pendidikan berkaitan pelaburan iaitu i-Care Al-Amin.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Wan Mohd Fadzlullah Wan Abdullah berkata, sasaran itu sejajar dengan usaha untuk menampung permintaan pasaran dan untuk tahun kewangan ini juga, pihaknya giat berusaha melancarkan lebih banyak produk berinovatif untuk memenuhi kehendak pasaran.

“i-Care Al-Amin adalah pelan pertama daripada siri i-Care bertujuan mempertingkatkan rangkaian produk agensi takaful keluarga HLM, selain berhasrat mengukuhkan lagi kedudukan kumpulan dalam segmen takaful.

“Melalui saluran agensi keluarga, ia dilihat sebagai pelan takaful patuh syariah yang menggabungkan elemen perlindungan, simpanan dan pelaburan di mana ia membolehkan ibu bapa atau ibu mengandung untuk mula membuat perancangan pendidikan bagi anak mereka seawal usia 18 minggu kehamilan hingga 10 tahun sambil menikmati pelan perlindungan menyeluruh,” katanya pada sidang media pelancaran pelan takaful, i-Care Al-Amin, baru-baru ini.

Hadir sama, Pengerusi HLM Takaful, Dr Ab Mumin Ab Ghani dan Ketua Agensi Keluarganya, Ariff Azhan Abdul Ghani.

Beliau berkata, di bawah skim pelaburan baru itu, pihaknya menawarkan perlindungan penuh dan pelaburan dana pendidikan melalui tiga kumpulan berbeza termasuk pelan asas, rider penjagaan bayi dan lain-lain rider.

“Pelanggan boleh memilih untuk melabur dalam dana pelaburan yang disediakan seperti HLTMT i-Income Fund, HLTMT i-Balanced Fund dan HLTMT i-Equity Fund serta boleh memaksimumkan peruntukan pelaburan menerusi sumbangan tambahan berkala atau sumbangan tambahan tunggal.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 25 November 2015 @ 6:52 AM