Nwakaeme (kiri) meraikan jaringan ketiga ketika menentang Lions XII dalam perlawanan suku akhir pertama Piala Malaysia 2015 di Stadium Darul Makmur. Foto NSTP
Oleh Syah Rul Aswari Abdullah
srul@hmetro.com.my


Kuantan: Pahang mendapat bekalan selesa apabila menang 4-1 ke atas pasukan Lions XII pada aksi pertama suku akhir Piala Malaysia di Stadium Darul Makmur, sebentar tadi.

Kemenangan itu memberi kelebihan buat skuad bimbingan Zainal Abidin Hassan untuk mengharungi suku akhir kedua di Stadium Jalan Besar, Sabtu ini.

Beraksi di hadapan penyokong sendiri, Tok Gajah mengejutkan Lions XII seawal minit keenam apabila pemain tengah, Mohd Hafiz Kamal meledak gol pembukaan, menerusi sepakan percuma dari sebelah kanan gawang.

Bersambung ke babak kedua, Pahang yang juga juara bertahan terus mengasak pertahanan pelawat dan hasilnya, rembatan Matias Conti dari dalam kotak penalti pada minit ke-55 memberi gol kedua untuk tuan rumah.

Selang dua minit selepas itu, kekebalan benteng anak buah Fandi Ahmad sekali lagi musnah apabila Dickson Nwaekeme yang menyempurnakan hantaran Conti menghadiahkankan gol ketiga Pahang.

Tuan rumah menambah derita pelawat apabila pemain tengah, R Gopinathan merembat masuk hantaran Mohd Azamuddin Md Akil untuk menewaskan penjaga gol lawan, Mohd Izwan Mahbud pada minit ke-67.

Bagaimanapun, kealpaan tuan rumah memberikan gol sagu hati buat Lions XII pada minit terakhir perlawanan hasil jaringan pemain pertahanan Safuwan Baharudin dan kedudukan 4-1 kekal sehingga wisel penamat.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 24 November 2015 @ 11:13 PM