FOTO arkib NSTP
Oleh Intan Mas Ayu Shahimi
imas@hmetro.com.my


Kuala Lumpur: Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) hari ini mengeluarkan amaran peringkat kuning bagi negeri di Pantai Timur berikutan jangkaan hujan sederhana lebat bermula Khamis sehingga Sabtu.

Dalam amaran dikeluarkan menerusi laman web, Facebook dan Twitter itu, hujan sehingga sederhana lebat dijangka berlaku di Kelantan, Terengganu dan Pahang.

Sementara ribut petir, hujan lebat berserta angin kencang di beberapa lokasi di Johor dan Sarawak hari ini dijangka berterusan sehingga awal petang.

Turut dimuat naik adalah amaran angin kencang dan laut bergelora kategori pertama.

Angin kencang Timur Laut berkelajuan 40 hingga 50 kilometer sejam dengan ombak mencapai ketinggian sehingga 3.5 meter dijangka berlaku di kawasan perairan Condore, Reef North, Layang-Layang dan Palawan bermula esok (Rabu) sehingga Ahad.

Keadaan angin kencang dan laut bergelora itu berbahaya kepada bot kecil, rekreasi laut dan sukan laut.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 24 November 2015 @ 5:04 PM