BAKAL tampil single solo.
Syanty Octavia Amry
soctavia@hmetro.com.my

Akui sukar bergerak sendiri, penyanyi dan pelakon, Syarif Ahmad, 26, perlu kuat meneruskan kerjaya seninya seorang diri kini.

Hampir 10 tahun bersama Sleeq yang turut dianggotai sepupunya, Alyph, Syarif kini berusaha menyesuaikan diri apabila mengadakan persembahan nyanyian sendiri.

Sleeq yang dianggotai duo ini dibubarkan dua bulan lalu berikutan masing-masing sudah tidak mempunyai arah dalam meneruskan muzik diminati.

“Ramai yang tahu Sleeq sudah tiada. Tiba masanya untuk saya fokus pada kerjaya sendiri. Saya betul-betul hendak berkecimpung dalam industri ini.

“Insya-Allah saya bekerja untuk penghasilan single pertama tidak lama lagi.

“Tidak saya nafikan ramai yang kecewa dengan pembubaran ini, malah ada peminat yang menghantar e-mel panjang lebar marahkan kami berdua.

“Namun semua perlu akur dengan keputusan yang dibuat. Kami ada visi sendiri dalam meneruskan muzik yang dibawa.

“Tidak saya nafikan saya belum selesa bergerak sendiri. Selama 10 tahun selalu bersama Alyph, terasa janggal apabila mengadakan persembahan pentas seorang diri.

“Pernah ketika mengadakan persembahan di Singapura, terasa begitu lain. Dengan lirik lari entah ke mana.

“Saya memerlukan masa untuk menyesuaikan diri menyanyi seorang diri. Bukan senang menjadi artis solo dan saya memerlukan masa,” katanya yang bakal menerima kehadiran cahaya sulung tidak lama lagi.

Mengulas mengenai karier lakonan pula, filem pertama lakonan Syarif berjudul Sinaran bakal menemui penonton pada 26 November ini.

Walaupun ia filem muzikal, namun Syarif tidak berpeluang menari mahupun menyanyi.

Menyedari akan perkara itu, Syarif berkata, sepatutnya dia terbabit dalam babak menyanyi dan menari namun disebabkan sibuk dan terikat dengan perkara lain, dia tidak dapat melakukannya.

“Saya akui ada peminat yang mengharapkan saya menyanyi dan menari disebabkan ini adalah filem muzikal.

“Saya sibuk dan tidak berpeluang menghafal step tarian, apatah lagi hendak merakam lagu untuk filem ini.

“Justeru, saya berharap apa yang berlaku tidak mengecewakan mereka.

“Insya-Allah jika ada rezeki, saya akan lebih mengkaji watak dan genre yang diberikan supaya mempunyai masa dan berpeluang melakonkan watak yang sesuai dengan jiwa saya,” katanya.

Selain Syarif, isterinya, Malaque Mahdaly turut menyanyikan beberapa lagu di dalam filem ini di mana lagu asal penyanyinya adalah Datuk Sheila Majid.

“Semua ini adalah kebetulan ketika saya membawa isteri ke set penggambaran. Kevin yang mengenali isteri yang juga finalis Singapore Idol meminta dia menyanyi.

“Kebetulan mereka memang mahukan penyanyi yang suara tidak sama dengan Lisa, tetapi sama dari segi nyanyian.

“Rakaman diadakan di Jakarta dan ketika itu kami belum berkahwin. Mungkin rezeki selepas penggambaran filem ini selesai pada April, kami berkahwin pada November,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 24 November 2015 @ 11:29 AM