PROSES pembiakan anak benih.
BUAH tin yang sudah dipetik.
SAHUDIN dan Norsheila menunjukkan pokok tin yang berusia dua bulan.
Oleh Mohd Amin Jalil
rencana@hmetro.com.my

Selain tamar, zaitun dan anggur, buah tin antara beberapa jenis buah-buahan yang disebut dalam al-Quran kerana mengandungi banyak khasiat.

Kebanyakan pokok tin ditanam di kawasan Mediterranean seperti Turki, Iran, Mesir dan beberapa negara lain seperti Sepanyol, Portugal serta Greece manakala negara pengeluar utama buah tin di dunia ialah Turki, Mesir, Algeria, Maghribi dan Iran.

Namun, ramai tidak menyangka pokok tin atau nama saintifiknya Ficus carica boleh hidup subur di negara ini.

Ini dibuktikan Sahudin Mohamad, 49, yang mengusahakan tanaman itu bersama isterinya, Norsheila Abdullah, 49, di Batu 10, Jalan Pantai, Seremban, sejak Mac lalu.

Menurut Sahudin, dia mengeluarkan perbelanjaan awal RM70,000 bagi memulakan projek itu termasuk mendapatkan anak benih, baja, membina sistem saliran dan pondok lindungan hujan serta bekas tanaman.

Pada mulanya, dia hanya menanam 150 pokok tin sebagai percubaan dengan benih diperoleh daripada seorang pengusaha yang sudah lama terbabit dengan tanaman itu di Sungai Buloh, Selangor, selain diimport dari luar negara.

“Idea membabitkan diri dalam projek ini bermula daripada isteri yang suka menanam pokok di halaman rumah. Selepas melihat ada pengusaha berjaya menanam pokok tin, saya terfikir untuk meletakkan jawatan sebagai pengarah teknologi maklumat (IT) di sebuah syarikat di ibu negara, awal tahun ini.

“Biarpun pada awalnya masih ragu kerana menyedari pokok tin bukan mudah ditanam di negara ini, saya tidak menyangka tindakan itu tepat apabila projek yang saya usahakan menjadi walaupun tiada pengetahuan luas mengenai kaedah penanaman dan penjagaannya.

“Saya juga berkongsi maklumat dengan pengusaha lain serta menerusi Internet sebagai panduan,” katanya.

Usaha Sahudin tidak sia-sia apabila 500 pokok tin yang ditanam secara fertigasi dan sistematik di dalam pondok lindungan hujan tumbuh subur.

Menggunakan campuran tanah tertentu serta baja sesuai, pokok berkenaan menghasilkan buah berkualiti setanding buah tin dari negara asalnya.

Beliau yang tinggal di Shah Alam, Selangor berulang-alik ke tapak projek itu hampir setiap hari bagi memastikan tanaman sentiasa terjaga.

Mengenai kaedah penanaman dan penjagaan, Sahudin berkata, pokok tin memerlukan campuran 30 peratus tanah hitam dan 70 peratus pasir kasar dan memerlukan kawasan terdedah cahaya matahari.

“Pokok ini juga memerlukan penjagaan rapi terutama penggunaan baja terpilih bagi tumbesaran dan boleh mengeluarkan buah selepas enam bulan,” katanya.

Sahudin berkata, pokok tin ada pelbagai jenis antaranya Golden Fig yang berasal dari Taiwan, Masui Daphine (Jepun), Texas Ever Bearing (Amerika Syarikat) atau Red Khutmani (Asia Barat) dan masing-masing mempunyai rasa serta saiz buah yang sedikit berbeza.

Beliau bagaimanapun memberi keutamaan kepada aktiviti membekal dan menjual anak benih pokok tin berbanding memasarkan buah kerana pengeluaran dari ladangnya masih terhad dan khuatir tidak mampu menampung permintaan.

Bapa kepada lapan anak berusia lapan hingga 23 tahun itu berkata, pokok tin bernilai tinggi kerana anak benih boleh dijual pada harga RM100 hingga RM200 sebatang, bergantung kepada jenis.

“Buah tin yang segar mampu mencecah RM80 sehingga RM100 sekilogram. Setakat ini permintaan terhadap anak benih pokok tin agak tinggi terutama dalam kalangan pengusaha kecil-kecilan dan purata saya menjual antara 30 hingga 50 batang pokok sebulan.

“Buah tin pula belum dipasarkan kerana kebanyakan pokok yang ditanam baru mengeluarkan buah sulung, September lalu,” katanya yang mendapat bimbingan Jabatan Pertanian Negeri Sembilan (JPNS) yang memberi khidmat nasihat.

Katanya, dia bercadang membesarkan projek berkenaan di kawasan seluas 0.5 hektar di Sikamat, Seremban, tidak lama lagi.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 24 November 2015 @ 10:30 AM