AZMAN (dua dari kiri) bertukar dokumen dengan Dr Noor Azlan selepas menandatangani MoU. Turut kelihatan, Derek (kiri) and Dr Sahrim.

Kuala Lumpur: AmGeneral Insurance Berhad (AmGeneral), salah satu syarikat insurans motor terkemuka di Malaysia berfikiran terbuka dan mempertimbangkan pelaksanaan skim insurans takaful terhadap sistem AmGeneral.

Pengerusi Kumpulan AmBank, Tan Sri Azman Hashim berkata, AmGeneral Insurance akan memberi tumpuan kepada segmen insurans yang semakin meningkat pada masa sama mengukuhkan pengedaran pemasaran dalam segmen insurans lain.

“Saya berfikir ke arah itu dan terdapat kemungkinan besar untuk pihak kami beralih daripada sistem sedia ada kepada takaful,” katanya pada sidang media selepas menandatangani memorandum persefahaman (MoU) bersama Universiti Kebangsaan Malaysia, di sini, semalam.

Mengulas mengenai perjanjian itu, beliau berkata, MoU terbabit membenarkan dan memberi peluang kepada pelajar tahun akhir Fakulti Sains dan Matematik UKM untuk menjalani program amali mahupun praktikal agar mereka mendapat pendedahan sebenar mengenai cara bekerja dalam industri.

“Dengan pertumbuhan pesat dalam industri perkhidmatan kewangan, terdapat permintaan besar untuk kemahiran aktuari. Terdapat keperluan dan kehendak besar untuk membangunkan kumpulan bakat sains aktuari baru,” katanya.

Hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif AmGeneral Insurance, Derek Roberts dan Dekan Fakulti Sains dan Teknologi UKM, Prof Dr Sahrim Ahmad.

Naib Canselor UKM, Prof Datuk Dr Noor Azlan Ghazali berkata, perkongsian itu diilhamkan objektif sama untuk membangunkan bakat berpotensi melalui program latihan, pendidikan dan penyelidikan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 24 November 2015 @ 6:39 AM