Oleh Rabi 'Atul 'Adawiyah Ismail
rabiatul@hmetro.com.my


Kuching: Seramai 25 penghuni daripada empat rumah di Kampung Selipar Putus, Tabuan Melayu di sini, tinggal sehelai sepinggang apabila kediaman mereka musnah terbakar dalam kejadian petang tadi.

Kebakaran jam 4.30 petang itu turut menyebabkan dua penghuni lelaki cedera ringan terkena percikan api ketika keluar menyelamatkan diri dari rumah yang terbakar.

Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Sarawak, Farhan Sufiyan Borhan berkata, bomba menerima panggilan kecemasan pada 4.42 petang dengan 28 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Tabuan Jaya, Kuching dan Batu Lintang termasuk unit ambulans bergegas ke lokasi kejadian.

"Dalam kebakaran itu, empat rumah berstruktur papan musnah seratus peratus dan hanya dua penghuni lelaki melecur ringan terkena api ketika cuba menyelamatkan diri. Mangsa diberi rawatan awal dari unit ambulans.

"Punca sebenar kejadian dan jumlah kerugian masih dalam siasatan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 23 November 2015 @ 7:29 PM
ANGGOTA Bomba dan Penyelamat memadam kebakaran di Kampung Selipar Putus. FOTO Jeakqleyn Yacho