Hazli memberi dedak kepada ayam peliharaannya.
Pembantunya, Mohd Fahmi June, mengira ayam sebelum dijual kepada pengedar.
Kawasan reban ayam yang dibina di kawasan lombong lama.
Telur ayam yang dieramkan dan kemudiannya menetas menjadi anak ayam kampung.

FATIN FARHANA JAPRE mahu berkongsi kisah anak muda yang mengisi masa lapangnya dengan menternak ayam kampung.

Meskipun berkerjaya sebagai pengawal pengiring di Ibu Pejabat Polis Kampar, Perak, Hazli Husin, 26, tidak melepaskan peluang berjinak-jinak dalam bidang penternakan ayam kampung bagi mengisi masa lapangnya.

Mungkin bagi sesetengah orang berkerjaya, mereka berasa malu untuk menceburkan diri dalam bidang ini. Namun tidak bagi Hazli yang berpendapat perasaan malu perlu ditolak ke tepi memandangkan bidang penternakan berpontensi memberi pulangan yang lumayan jika kena cara menguruskannya.

Menurut Hazli, minatnya untuk menceburi bidang penternakan ayam kampung timbul apabila beberapa rakannya mula membabitkan diri dalam bidang ini dan menjadikannya sebagai alternatif bagi menjana pendapatan sampingan.

“Minat memang sudah lama ada cuma baru perte­ngahan tahun lalu saya mula membabitkan diri dalam bidang ini. Sebagai permulaan, saya membeli 100 ekor anak ayam kampung daripada pemborong untuk dibiakkan supaya menjadi ibu ayam dengan modal RM5,000.

“Kemudiannya, apabila ayam itu membesar dan boleh menghasilkan telur, telurnya saya kumpul setiap hari. Masuk hari keenam, lebih kurang 60 biji telur ayam yang terkumpul saya masukkan ke dalam mesin khas untuk proses pengeraman.

“Sesudah 21 hari pula, telur yang dimasukkan ke dalam mesin pengeraman akan menetas menjadi anak ayam. Daripada 60 biji telur ayam, sebanyak 48 biji saja yang menetas menjadi anak ayam. Sejak itu, saya tidak lagi mengambil bekalan anak ayam kampung daripada pemborong,” katanya.

Tambahnya lagi, anak ayam yang baru menetas akan diberi suntikan vitamin B Complex yang diambil dari Jabatan Veterinar Kampar, Perak. Justeru, anak ayam akan disimpan selama dua hari di dalam reban yang lampunya dibiarkan hidup 24 jam bagi memberi haba kepada anak ayam untuk terus hidup.

Tanah rizab lombong yang berkeluasan setengah ekar di Mambang Di Awan, Kampar, Perak digunakan Hazli untuk membina 10 reban ayam bagi menempatkan ayam induk, ayam dara dan anak ayam kampung. Hujung tahun lalu, 200 ekor anak ayam mati berikutan cuaca yang tidak menentu, namun Hazli tetap tidak berputus asa.

Siapa sangka kini Hazli mempunyai 400 ekor ayam kampung pelbagai saiz walaupun pada awalnya sekadar untuk mengisi masa lapang pada hujung minggu. Malah, dia pula membekalkan ayam kampung kepada penduduk sekitar Kampar, Perak terutamanya penduduk berbangsa Cina dan di Instagramnya (Hazli Husin Hazli).

“Sekarang saya pula yang menjual anak ayam, telur dan ayam kampung. Permintaan memang sangat banyak sehinggakan saya tidak dapat menampung permintaan pelanggan. Pelanggan saya majoritinya 99 peratus berbangsa Cina kerana mereka memang gemarkan ayam kampung.

“Selepas empat bulan dari tempoh anak ayam menetas, ayam kampung yang beratnya satu kilogram lebih akan dijual kepada pembeli. Kebiasaannya, pembeli yang dikenali sebagai orang te­ngah akan mengambil 40 ekor ayam kampung setiap dua minggu,” kata anak kelahiran Melaka ini.

Sejak Hazli menjalankan aktiviti penternakan ini, rutin hariannya berubah kerana pada waktu pulang kerja jam enam petang, dia akan pergi ke reban memberi ayamnya makanan seperti dedak dan bihun ‘reject’.

Mengikut harga pasaran, seekor ayam kampung jantan dijual pada harga RM19 sekilogram manakala ayam betina dijual RM22 sekilogram. Lain pula harga bagi ayam gajah atau lebih dikenali sebagai ayam ‘operate’ yang dijual RM40 sekilogram.

“Tiga bulan sebelum perayaan Tahun Baru Cina, saya dah sasarkan 200 ekor ayam kampung untuk dijadikan ayam ‘operate’ yang beratnya boleh mencecah enam kilogram seekor. Rezeki lebih sedikit buat saya sekeluarga apabila tiba musim ini.

“Alhamdulillah, sebulan lebih 140 ekor ayam dijual dengan keuntungan kasar RM2,000 tetapi bergantung kepada permintaan. Perancangan masa terdekat pula, saya mahu membuka sebuah kedai memproses ayam dan menjual ayam ‘frozen’ bagi memudahkan penduduk sekitar Kampar.

“Bagi belia lain, anda patut ambil peluang ini memandangkan kerajaan kita ada menyediakan pelbagai skim bantuan bagi menyokong usahawan muda dalam bidang penternakan dan pertanian,” kata bapa kepada dua anak ini.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 23 November 2015 @ 1:06 PM