TERTUDUH, Mohd Farhan (dua kanan) dipeluk ahli keluarga selepas mahkamah membebaskannya daripada tuduhan membunuh. FOTO Hairul Anuar Abd Rahim
Oleh Mohamad Fahd Rahmat
fahd@hmetro.com.my


Johor Bahru: Seorang kakitangan kerajaan berusia 29 tahun dilepas dan dibebaskan daripada tuduhan membunuh lelaki berusia 33 tahun pada 15 Januari 2013 kira-kira 11 malam di Jambatan Jalan Bypass Kota Tinggi.

Hakim Mahkamah Tinggi Johor Bahru, Datuk Mohd Sofian Abd Razak berkata, pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadap tertuduh, Mohd Farhan Roslie.

Bagaimanapun, dua lelaki lain iaitu Ruhaizat Mohamad, 37 dan Mohd Nur Umarul Tamrin, 22, yang turut terlepas hukuman gantung, dipanggil untuk membela diri atas pertuduhan pindaaan di bawah Seksyen 201 Kanun Keseksaan kerana melupuskan barang bukti.

Ketiga-tiga tertuduh yang memakai kemeja lengan panjang dilihat saling berpelukan sebaik hakim membacakan keputusan.

Pendakwaan kes diketuai Timbalan Pendakwaraya Rahimah Abdul Majid manakala ketiga tertuduh diwakili peguambela Zamri Idrus, Muhammad Abd Kadir dan Mohd Daud Ismail.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 23 November 2015 @ 12:49 PM