COSTA diasak dua pemain Norwich City pada aksi di Stamford Bridge, kelmarin.

London: Jose Mourinho berharap jaringan kemenangan Diego Costa ke atas Norwich City akan menjadi titik perubahan buat penyerang Chelsea itu.

Penyerang Sepanyol itu bangkit daripada dikritik teruk apabila bergelut mendapatkan kembali prestasi yang dimilikinya dalam membantu kelab mara menjulang gelaran Liga Perdana Inggeris musim lalu.

Costa gagal memanfaatkan beberapa peluang ke atas Norwich sebelum memastikan kemenangan pertama Chelsea dalam empat perlawanan dengan jaringan kemenangan 1-0 pada minit ke-64 di Stamford Bridge kelmarin.

Jaringan itu yang ketiga buatnya dalam 11 penampilannya sepanjang musim ini.

Pengurus Chelsea Mourinho mengakui anak buahnya itu mula merasai tekanan, tetapi percaya Costa kini mampu melupakan episod duka itu.

“Apabila anda tidak menjaringkan gol, anda menjadi semakin berat,” kata Mourinho.

“Setiap perlawanan yang gagal menghasilkan gol akan menambah 5kg lagi. Anda rasa makin berat dan tertekan.

“Pada separuh masa pertama dia terlepas dua peluang. Yang kedua, iaitu pada minit terakhir adalah paling besar. Jadi, ia amat penting baginya. Keputusan dan gol itu bukan saja penting bagi kami, tetapi juga untuknya.

“Dia bekerja keras, sentiasa gembira, mencuba segala-galanya. Dia seorang yang positif jadi jika saya perlu memilih seseorang untuk menjaringkan gol kemenangan, dialah orangnya.”
- AFP

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 23 November 2015 @ 10:06 AM