RIZAL Fahmi mengakui Selangor berdepan tugas sukar di Kuching.
Oleh Azlan Muhammad Zain
azlanmz@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Teka-teki pasukan yang akan menentang juara Piala Malaysia 32 kali Selangor pada suku akhir terjawab malam kelmarin apabila Sarawak muncul naib juara Kumpulan B.

Jelas ia bukan tugas yang mudah buat anak buah Mehmet Durakovic (gambar) menjelang aksi suku akhir pertama di Stadium Negeri esok.

“Sudah pasti Sarawak antara pasukan yang kuat apabila mampu mengiringi juara Kumpulan B Johor Darul Ta’zim ke suku akhir. Malah berjaya mengikat juara Piala AFC itu 1-1 di Larkin.

“Jika melihat aksi di Larkin semalam (kelmarin), Sarawak sebuah pasukan yang tidak kenal erti putus asa. Mereka bekerja keras dan mempunyai semangat berpasukan tinggi,” kata pertahanan tengah Merah Kuning Rizal Fahmi Rosid.

Ujarnya, aksi di Stadium Negeri di Kuching akan memberikan kesukaran kerana ia gelanggang keramat Sarawak yang sentiasa mendapat sokongan padu penyokong tempatan.

Bagaimanapun dua aksi Liga Super membabitkan pertemuan kedua-dua pasukan memberikan kelegaan dengan memihak Selangor.

Pada pusingan pertama Liga Super, Selangor menang 2-0 disusuli keputusan seri 1-1 hasil jaringan Andik Vermansah di Kuching.

“Rekod pertemuan Liga Super tidak boleh dijadikan sandaran. Kami perlu bekerja keras jika mahu melangkah ke separuh akhir,” katanya.

Selangor pastinya mendapat motivasi tambahan untuk terus melangkah ke separuh akhir dan akhir kerana Stadium Shah Alam menjadi gelanggang final Piala Malaysia pada 12 Disember ini.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 23 November 2015 @ 9:50 AM