PEMAIN Malaysia, Muhammad Haziq Samsul (kanan) ledak tiga gol ketika menentang Bangladesh, semalam.
Oleh Saiful Affendy Sapran
saifulaffendy@hmetro.com.my

Kuantan: Kekalkan pasukan Projek 2016. Itu yang diharapkan pengendali skuad negara Arul Selvaraj kepada pengurusan Konfederasi Hoki Malaysia (MHC) selepas anak buahnya gagal memenuhi sasaran untuk layak ke Piala Dunia Remaja di India tahun depan.

Meskipun skuad kali ini dilihat sebagai ‘projek gagal’ hanya kerana kesilapan dua minit terakhir ketika bertemu Korea Selatan pada suku akhir, sekali gus meranapkan impian Malaysia untuk layak ke Piala Dunia Remaja, Arul berharap semua pihak tidak hanya menilai kesilapan itu saja.

“Walaupun gagal, saya tetap berharap pasukan ini dikekalkan. Berilah peluang lagi kepada barisan pemain sedia ada ini untuk meningkatkan lagi prestasi mereka.

“Janganlah hanya melihat kesilapan dua minit itu saja kerana saya yakin sekiranya terus diberi peluang, barisan pemain yang ada dalam skuad ini akan memberi sumbangan besar kepada skuad senior negara pada masa depan.

“Barisan pemain inilah juga yang akan membarisi skuad senior. Mungkin mereka boleh dilabel sebagai pasukan Malaysia B kerana selain skuad senior, inilah barisan kedua Malaysia,” katanya pada sidang media semalam.

Mungkin kerana ingin melepaskan geram gagal meraih tiket ke Piala Dunia Remaja, skuad negara membelasah Bangladesh 8-0 pada perlawanan penentuan tempat kelima dan keenam semalam.

Meskipun keputusan itu tidak memberi apa-apa makna, skuad negara tetap mempamerkan aksi terbaik mereka untuk menamatkan kejohanan di kedudukan terbaik.

Penyerang negara Sufi Ismat Rohulamin menjaringkan gol padang pada minit kedua dan keenam untuk meletakkan skuad negara selesa di depan sebelum seorang lagi penyerang Muhd Haziq Samsul menambah gol ketiga menerusi jaringan padang pada minit ke-30.

Haziq sekali lagi cemerlang apabila menambah gol keempat juga menerusi jaringan padang pada minit ke-44.

Muhd Najmi Farizal Jazlan menjadikan kedudukan 5-0 menerusi pukulan sudut penalti pada minit ke-52 sebelum penyerang Muhd Azwar Abd Rahman menambah gol keenam pada minit ke-56.

Muhd Najmi kemudian menambah gol ketujuh menerusi pukulan sudut penalti pada minit ke-58 sebelum Muhd Haziq meledak hatrik lapan minit kemudian.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 23 November 2015 @ 9:40 AM