Oleh Fardy Bungga
am@hmetro.com.my


Kuala Lumpur: Seorang lelaki berusia 45 tahun nyaris maut selepas ditikam dua kali di leher oleh anak perempuannya dalam kejadian di Taman Desa Bakti, Jinjang, 10.49 pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner R Munusamy berkata, kejadian dipercayai berlaku akibat suspek tidak berpuas hati dan mengamuk apabila bapanya tidak merestui perhubungannya dengan seorang gadis.

Katanya, sejurus selepas kejadian, mangsa kemudiannya dibawa oleh ahli keluarganya yang lain untuk mendapatkan rawatan di Hospital Selayang.

"Siasatan awal mendapati ketika pertelingkahan berlaku, suspek dikatakan mengambil sebilah pisau pemotong sayur dan bertindak menikam bapanya sendiri.

"Suspek berusia 18 tahun sudah ditahan dan kes disiasat mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 22 November 2015 @ 4:10 PM