BERJAYA ditepis peninju Kelab Muay Thai Kayu Kelat Terengganu Ismail menentang peninju Thailand Niwa Narphatung.
TINGGI aksi sepakan wakil Thailand, Pootagoo.
AKSI ‘Ti Khao’ peserta berentap.
ZAHID mengangkat tangan Pok Ku selepas menyampaikan Tali Pinggang TPM.
Oleh Nurul Husna Mahmud
nurul_husna@hmetro.com.my


Debaran makin memuncak apabila dua peninju tomoi meletakkan Mongkon (aksesori kepala daripada tali berwarna) selepas melakukan ‘Wai Kru Ram Muay’ iaitu tarian ritual pembukaan gelanggang.

Tarian itu sebagai tanda menghormati guru, keluarga, kelab serta mereka menyaksikan kejohanan Grand Final DBKL Kuda Merah International Muay Thai Challenge 2015 menandakan kedua-dua sedia memberi saingan terbaik untuk saringan selama dua hari berlangsung.

Suasana Stadium Titiwangsa nyata meriah dengan kehadiran peminat seni mempertahankan diri dari negara Gajah Putih itu.

Istimewanya kejohanan itu menampilkan Tali Pinggang Timbalan Perdana Menteri (TPM) sebagai kemuncak kejohanan menyaksikan 12 tali pinggang ditawarkan dalam kejohanan sama menurunkan jagoan daripada Kelab Kuda Merah Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Red Army serta peninju terkuat kelab masing-masing.

Menurut peninju Muay Thai negara, Tengku Sharizal Tengku Abd Rahman atau lebih dikenali dengan gelaran Pok Ku kalangan komuniti sukan itu, dia teruja dan berbangga apabila diberi penghormatan untuk merebut tali pinggang TPM.

Namun mengakui sedikit terkilan kerana tidak sempat menampilkan aksi penuh apabila lawannya, Sirit Tong dari Thailand tumbang pusingan kedua akibat kecederaan.

“Saya gembira kerana dapat mempertahankan Tali Pinggang TPM pada malam berkenaan tetapi sedikit terkilan kerana tidak dapat menampilkan banyak aksi kerana lawan saya mengalami kecederaan ketika pusingan kedua.

“Ramai teruja dengan prestasi saya malam itu tetapi mereka sedikit kurang puas menonton kerana perlawanan berakhir begitu singkat. Jadi perlawanan akan datang, saya mahu tampilkan lebih saingan dan bertemu lawan lebih hebat agar pertarungan tomoi ini bertambah sengit,” katanya membuat persiapan intensif selama tiga bulan untuk perlawanan itu.

Peninju yang pernah mewakili Malaysia dalam World Muay Thai itu berkata, sokongan jabatannya Polis Diraja Malaysia (PDRM) banyak membantu dia berkembang dalam sukan berkenaan.

“Selain inisiatif individu memperkemaskan skil mereka seperti ‘Sok’ (gerakan siku) dan ‘Ti Khao’ (gerakan lutut), sokongan jurulatih dari Kelab Kuda Merah PDRM serta keluarga membuatkan saya terus berada dalam lapangan ini.

“Paling penting saya bertuah kerana PDRM banyak memberi galakan serta sokongan dalam pembabitan sukan Muay Thai ini sehingga berpeluang mewakili negara dalam kejohanan dunia mahupun antarabangsa,” katanya.

Manakala peninju mewakili Kelab Kuda Merah Shah Alam (KKMSAS), Amirul Ariffin, mengakui bersyukur dapat mempertahankan Tali Pinggang Tengku Shariffuddin Shah Tengku Sulaiman Shah dalam kejohanan sama.

“Satu tanggungjawab besar apabila perlu mempertahankan tali pinggang penaung KKMSAS iaitu Tengku Shariffuddin berdepan dengan lawan hebat Thailand. Alhamdulillah saya berjaya mendahului peninju Thailand serta memenangi perlawanan terbabit.

“Strategi saya ketika bertarung, saya membaca gerak lawan pusingan pertama dan bertindak pada pusingan kedua menggunakan pukulan siku.

“Semua ini berkat sokongan keluarga, rakan serta pasukan kuda merah PDRM serta tidak lupa Kelab Kuda Merah Shah Alam kelab yang saya wakili untuk kejohanan berkenaan,” katanya lebih dikenali sebagai Ban Mero.

Timbalan Presiden KKMSAS Azri Rosli menyifatkan penganjuran pertandingan penting dalam meningkatkan kualiti atlet tempatan.

“Selaku persatuan di bawah satu bumbung dalam sukan Muay Thai bersama Kelab Kuda Merah PDRM serta Kuala Lumpur, kami berasa kejohanan seperti ini cukup penting dalam per­kembangan sukan tomoi ini.

“Malah kami yang baru ditubuhkan lima enam bulan mendapat sokongan penuh Tengku Shariffuddin serta Tengku Hafiz Tengku Adnan bercadang menganjurkan kejohanan Muay Thai tahun hadapan di Stadium Melawati dalam mencari peninju bertaraf dunia,” katanya turut menubuhkan Kelab Tinju Warisan Li.

Presiden Kelab Kuda Merah Kuala Lumpur merangkap jurulatih Kelab Kuda Merah PDRM Rosli Yaacob berkata, dengan sambutan menggalakkan kalangan peminat serta kelab Muay Thai tempatan, pihaknya merencana menganjurkan lebih besar bagi kejohanan akan datang.

“Seperti tahun sebelum ini, ramai orang menantikan kejohanan Muay Thai pada November kerana ia kemuncak perlawanan.

“Tetapi untuk tahun ini, kepuasan penonton mengenai dua hari perlawanan sekadar 80 peratus disebabkan ada pertempuran masih pada tahap sederhana. Selain itu, ada juga pertarungan kurang menyengat akibat kecederaan peninju Thailand.

“Biarpun ia kelebihan wakil tuan rumah namun buat peminat sukan menjangkakan persaingan sengit antara Malaysia serta Thailand tentu saja mereka tidak puas dengan perlawanan singkat.

“Bagi tahun depan kami berharap 16 persatuan seluruh Malaysia bersedia mempersiapkan peninju mereka bagi kejohanan November selain berhasrat membawa peninju Muay Thai ternama.

“Ini kerana kami mahu menganjurkan kejohanan lebih gah sambil berharap sokongan pelbagai agensi serta korporat untuk terus menaja kejohanan kami,” katanya.

Wakil penaja Muzammir Sam berkata, meskipun julung kali menaja kejohanan ini, pihaknya teruja menyumbang kepada pembangunan atlet serta sukan Muay Thai secara tidak langsung.

“Kolaborasi bersama komuniti sukan ini memberi makna besar kepada kami selaku penaja betapa sukan ini mempunyai impak besar baik secara langsung kepada atlet mahupun peminat sukan berkenaan.

“Secara peribadi melihat peninju ini berjuang atas semangat kesukanan serta kegigihan mereka dalam gelanggang wajar dicontohi dan bukan semata-mata bersandarkan hiburan. Impak kepada umum pula saya lihat ramai golongan muda tertarik dalam aktiviti ini seharusnya memberi makna bagus bahawa sukan ini mempromosi sukan serta sosial lebih sihat berbanding pembabitan aktiviti membuang masa,” katanya.

Dalam majlis sama, TPM Datuk Seri Dr Zahid Hamidi membuat pengumuman suntikan dana sebanyak RM500,000 untuk kejohanan tahun hadapan sebagai insentif kepada atlit bertanding.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 22 November 2015 @ 5:06 AM