PASAR Ben Thanh yang sentiasa dikunjungi pelancong terutama dari Malaysia.
PELBAGAI barangan dijual terutama baju dan kain di pasar Ben Thanh.
PASAR malam di luar pasar Ben Thanh juga sentiasa dipenuhi pelancong.
SUASANA pasar Ben Thanh meriah pada malam.
Oleh Hafidzul Hilmi Mohd Noor
hafidzul@hmetro.com.my


Ditarik dan digoda gadis manis di pasar Ben Thanh, Ho Chi Minh adalah suasana biasa yang dapat dilihat jika memasuki pasar itu.

Penulis yang berkesempatan ke bandar raya Ho Chi Minh, Vietnam atas undangan syarikat penerbangan tambang murah Air Asia selama tiga hari dua malam teruja melihat gelagat peniaga di pasar terbabit.

Lebih menarik kebanyakan peniaga di pasar itu boleh bercakap dalam bahasa Melayu kerana sering dikunjungi ‘kaki’ berbelanja atau tauke kain sering berulang-alik dari Kuala Lumpur ke Ho Chi Minh.

Tidak sah ke bandar Ho Chi Minh jika tidak singgah ke pasar Ben Thanh yang hanya mengambil masa beberapa minit berjalan kaki dari hotel ke pasar itu.

Pasar Ben Thanh adalah pasar rakyat yang menghimpunkan pelbagai kelengkapan dan barangan tempatan yang dijual pada harga rendah.

Pengunjung yang datang ke sini pasti akan rambang mata dengan pelbagai pilihan barangan.

Pasar ini beroperasi dari jam 10 pagi hingga 6 petang pada hari bekerja tetapi ia dibuka seawal 7 pagi pada Sabtu dan Ahad.

Harga bagi barangan yang dijual amat murah berbanding tempat lain. Barangan seperti kain pasang boleh didapati pada RM30 bagi empat meter sedangkan harga­nya boleh mencecah ratusan ringgit di Malaysia.

Penulis berkesempatan menemu bual seorang peniaga di pasar terbabit yang fasih berbahasa Melayu dikenali sebagai Min Hha, 31.

Menurutnya, dia yang 10 tahun meniaga di pasar terbabit sudah biasa dengan kehadiran rakyat Malaysia yang sering membeli kain secara borong.

“Saya belajar bertutur bahasa Melayu ketika bekerja di Malaysia pada 2002 sebelum pulang ke Vietnam dan memulakan perniagaan. Pasar ini menjadi tumpuan pelancong untuk membeli barangan cenderahati dan pelbagai jenis kain,” katanya.

Min Hha berkata, selain pakaian ada juga makanan eksotik yang dijual di pasar terbabit.

“Kebanyakan pelancong di sini adalah dari Malaysia dan Jepun yang rata-ratanya datang untuk membeli kain pasang dalam jumlah yang banyak. Kami memang sudah menetapkan harga, namun ia boleh dikurangkan lagi sekiranya harga yang diminta itu bersesuaian,”katanya.

Menurut Min Hha, dia juga selesa berurusan dengan rakyat Malaysia memandangkan cara percakapan dan peribadi diri yang lebih sopan.

“Orang Malaysia baik dan ramah selain lembut dalam urusan tawar-menawar menyebabkan kami sebagai peniaga di sini berasa senang.

“Saya tidak teragak-agak untuk menurunkan harga sekiranya ia bersesuaian selain kebanyakan pembeli membeli dalam kuantiti yang banyak,” katanya.

Sementara itu, seorang rakyat Malaysia yang berkunjung, Aminah Said, 42, berkata, dia peniaga kain di Kuala Lumpur.

“Saya akan ke sini (Vietnam) setiap dua bulan untuk melihat stok baru dan mengambil kain yang ditempah. Harga di sini istimewa dan ia boleh dianggap sebagai syurga beli-belah disebabkan harganya sangat murah,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 22 November 2015 @ 5:03 AM