IBU dan anak yang menyertai bengkel 'Healthy Happy Little Walkers'.
Oleh Hidayatul Akmal Ahmad
hidayatulakmal@hmetro.com.my


Menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), probiotik ialah mikro organisma hidup yang memberi kebaikan kepada kesihatan apabila diambil dalam kuantiti mencukupi.

Namun, masih ada ibu bapa kurang peka mengenai kepentingan probiotik kepada tumbesaran anak mereka. Tidak kurang ada yang masih keliru mengenai probi0tok dan prebiotik.

Perunding Pediatrik Kardiologi Hospital Pantai Kuala Lumpur (PHKL), Dr Azam Mohd Nor berkata, probiotik adalah bakteria hidup yang memberi manfaat kepada kesihatan apabila dimakan dalam jumlah mencukupi.

“Contoh makanan kaya dengan probiotik ialah dadih (yogurt), minuman susu kultur, makanan diperam seperti budu, cencalok serta belacan yang membantu mencegah kanser usus.

“Prebiotik pula ialah makanan bagi bakteria baik. Ia boleh didapati dalam makanan yang tinggi kandungan serat seperti pisang, bawang putih, bawang besar, bawang merah, asparagus dan bijirin penuh mil,” katanya ketika ditemui pada bengkel Healthy Happy Little Walkers Workshop di Kizsport & Gym, Bangsar Village anjuran Yakult baru-baru ini.

Menurutnya, antara fungsi probiotik ialah menghalang pembiakan bakteria yang tidak baik, membantu sistem penghadaman dan penyerapan nutrien dan pada masa sama menghasilkan vitamin, seperti vitamin B-12.

“Segelintir ibu bapa kurang faham mengenai kebaikan probiotik dan prebiotik hingga ada yang masih ‘takut’ untuk memberi minuman atau makanan yang mempunyai sumber ini.

“Hakikatnya kajian menunjukkan probiotik sangat baik untuk mengurangkan masalah alahan kerana meningkatkan dan menstabilkan sistem imuniti tubuh,” katanya.

Bagi ibu yang menyusukan anak, sebenarnya mereka membekalkan makanan kepada probiotik dengan kandungan prebiotik yang tinggi di dalam susu ibu. Prebiotik pula adalah makanan kepada bakteria probiotik ini.

Probiotik juga berperanan menyokong sistem pertahanan usus dengan mengekalkan kesihatan sel usus. Ia juga melindungi daripada kesan berbahaya oleh organisma berjangkit yang memasuki usus di samping membantu mengurangkan kesan toksin berbahaya dan bahan yang boleh menyebabkan kanser, kemungkinan dihasilkan di dalam usus.

Justeru, sumber terbaik untuk kesihatan usus adalah dengan pengambilan sumber probiotik, mikroorganisma hidup dan bermanfaat apabila diambil dalam jumlah yang memadai.

Ia membantu dalam perkembangan sistem imun dengan meningkatkan populasi bakteria baik di dalam usus untuk mengelakkan penyakit berbahaya di dalam perut.

Kajian menunjukkan probiotik berkemungkinan mendatangkan manfaat membantu mengelakkan dan merawat cirit-birit atau alahan ketika 1,500 hari pertama anak anda.

Antara jenis probiotik yang dapat membantu kanak-kanak melawan bakteria yang tidak baik di dalam usus mereka adalah bifidobacteri.

Probiotik membantu memulihkan kesihatan sistem penghadaman dengan:

- Membantu badan anda menghadamkan makanan dan menyerap nutrien

- Menguatkan sistem imun badan anda

- Melindunginya daripada jangkitan organisma dan penyerang lain

- Mengurangkan toksin yang membawa mudarat dan bahan penyebab kanser

- Membantu pertumbuhan sel perut dan memastikan ia terus sihat

- Menambah bilangan sel darah yang sihat untuk melindungi badan daripada penyakit

- Membantu mengekalkan imbangan bakteria yang sihat dengan mengekalkan bakteria baik pada tahap tinggi

- Membantu melawaskan perut

- Membantu membaiki toleransi kepada susu

- Membantu menguatkan sistem imun

- Membantu menggantikan bakteria baik selepas mengambil antibiotik

- Membantu penghadaman

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 22 November 2015 @ 5:01 AM