Gelagat sebahagian kanak-kanak pada majlis berkhatan di Masjid Negara hari ini sebelum dikhatankan. FOTO Bernama

Kuala Lumpur: Seramai 57 kanak-kanak berusia tiga hingga 12 tahun menyertai majlis berkhatan beramai-ramai di Masjid Negara hari ini.

Majlis yang dirasmikan Timbalan Imam Besar Masjid Negara Yusuff Ahmad, turut dihadiri ibu bapa dan keluarga kanak-kanak yang dikhatankan.

Yusuff berkata, satu daripada tujuan program itu adalah untuk menggalakkan hubungan dan kefahaman yang lebih baik antara masjid dan orang ramai, selain ibu bapa dapat menasihatkan anak-anak mereka mengenai amalan dan ajaran Islam.

Selepas bangun seawal Subuh untuk menunaikan solat Subuh, kanak-kanak berkenaan kemudian memakai baju Melayu dan bersedia untuk melangkah ke alam kelelakian.

Senyuman dan gelak tawa tidak lekang daripada wajah kanak-kanak berkenaan yang berarak ke pintu masuk utama masjid dan disambut dengan paluan kompang.

Anggota bomba kemudian bersedia menanti kanak-kanak berkenaan di perkarangan masjid untuk acara tradisi yang ditunggu-tunggu iaitu bersiram menggunakan hos bomba.

Sebaik selesai, wajah yang dipenuhi gelak tawa sebelum ini bertukar kepada ketakutan dan gementar menunggu giliran untuk dikhatakan.

Fazli Taub, 10, berkata, walaupun pada mulanya proses itu sedikit menyakitkan, tetapi ia berbaloi kerana dapat melunaskan ajaran Islam yang wajib dilaksanakan itu.

"Saya dapat lihat ibu bapa dan saudara-mara saya gembira dan saya juga berjumpa dengan kawan baru di sini, saya bersyukur kerana melakukannya tanpa menangis," katanya. Bernama

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 21 November 2015 @ 8:14 PM