Mardiana selamat diijabkabulkan dengan Abdul Aziz, 9.30 pagi tadi.
Oleh Amirul Haswendy Ashari.
haswendy@hmetro.com.my


Kuala Lumpur: Pelakon, Mardiana Alwi, 27, selamat diijabkabulkan dengan jurutera, Abdul Aziz Rahamat, 33, pada 9.30 pagi tadi di Dewan Merak Kayangan, Balai Felda, di sini.

Abdul Aziz melafazkan akad nikah dengan sekali lafaz dan pasangan itu dinikahkan oleh Penolong Pendaftar Nikah Jalan Semarak, Mohd Zaki Mahmood dengan disaksikan keluarga masing-masing.

Pelakon drama Berek Hijau dan Cinta Nasi Ambang itu menerima mas kahwin RM 300 serta sebentuk cincin dan seutas rantai emas.

Abdul Aziz turut menyerahkan lima dulang hantaran berupa jam jenama Cerruti, beg tangan dan set wangian. Mardiana membalas sebanyak tujuh dulang hantaran antaranya kasut sukan Nike, set wangian dan kemeja.

Mardiana berkata, dia bersyukur kerana urusan pernikahan berjalan lancar.

"Saya akan teruskan kerjaya lakonan seperti biasa atas izin suami," katanya yang mengenali suaminya menerusi Facebook (FB) sejak tiga tahun lalu.

Pasangan itu bertunang pada 21 Disember 2014.

Sejurus dinikahkan, mereka diraikan dalam majlis resepsi di dewan sama tengah hari ini.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 21 November 2015 @ 11:27 AM