SELENDANG segera bercorak untuk disesuaikan dengan pakaian polos.
SELENDANG bersengkuap memudahkan pemakaiannya.
BOLEH digayakan untuk penampilan kasual ataupun santai.
Oleh Hajahfarhana Tarmudi
hajahfarhana@hmetro.com.my


Konsep elegan, anggun dan selesa dititikberatkan pada setiap rekaan selendang segera yang ditampilkan. Tanpa menolak pilihan gaya diinginkan Muslimah masa kini, ia turut menambah ciri unik untuk penampilan berbeza.

Memahami keghairahan wanita mengenakan selendang bersama rekaan terkini, Butik Diaz memperkenalkan koleksi selendang segeranya bagi memudahkan Muslimah bergaya menarik dan kemas dengan pantas.

Pengurus butik berkenaan, Nurasyikin Zahadi berkata, terdapat beberapa koleksi unik dari segi penggunaan material dan rekaan yang ditampilkan untuk helaian terkini.

“Sebelum ini, kami banyak melakukan kajian pelbagai rekaan berbeza di pasaran. Kami cuba mengetengahkan rekaan yang ditambah baik bagi memberi keselesan dan memudahkan ia digaya mengikut keinginan pemakai.

“Pada masa sama, material sifon berkualiti tinggi dan tahan lasak dipilih. Selain itu, kain kapas likra juga menjadi pilihan dalam koleksi kali ini kerana ia mempunyai ciri diinginkan seperti sejuk, terletak cantik dan tidak berbulu.

“Satin baldu yang berkualiti tinggi, lembut dan tidak berkilat turut digunakan di dalam koleksi ini selain kain tweed dari Itali yang tidak panas,” katanya.

Ujarnya, material yang dipilih kebanyakannya dibeli dari luar negara seperti Korea Selatan dan Cina yang disesuaikan dengan keadaan cuaca di negara ini.

Butik yang ditubuhkan sejak tahun 2014 itu mengetengahkan koleksi terkini sesuai digayakan Muslimah yang bijak menjaga penampilan menarik.

Menariknya, setiap koleksi akan dijahit bersama bunga dahlia yang diperbuat daripada besi sebagai tanda pengenalan jenama berkenaan. Antara koleksi yang diperkenalkan ialah Dahlia Eveline, Dahlia Clara Cotton, Dahlia Juliet Chiffon, Dahlia Chessy dan Dahlia Jazzy.

Selendang segera Dahlia Eveline disiapkan dalam fabrik satin dan sifon yang dijahit bersama anak tudung daripada fabrik kapas. Bagi memastikan selendang sentiasa tampak kemas dan menarik, ia dilengkapi dengan tali bagi memudahkan pemakaiannya.

Berbeza dengan rekaan selendang segera, Dahlia Clara Cotton, ia disiapkan dengan tambahan lisu atau lipatan yang terletak di bahagian bahu apabila dipakai untuk menampilkan gaya yang lebih anggun.

Koleksi Dahlia Juliet Chiffon pula direka dengan potongan rama-rama bagi menonjolkan penampilan yang kemas, beralun dan memudahkan pemakai kerana ia turut dijahit bersama pin tudung.

Bagi wanita yang gemar mengenakan selendang bersaiz panjang dan bercorak, koleksi Dahlia Chessy lebih sesuai digayakan bersama padanan pakaian polos.

Satu lagi keunikan rekaan yang ditampilkan boleh dilihat pada koleksi Dahlia Jazzy kerana ia dijahit bersama sengkuap bersilang daripada fabrik tweed untuk gaya yang elegan dan mewah.

Selain boleh didapati di butik vendor, koleksi terkini daripada jenama berkenaan juga boleh dibeli secara dalam talian dengan melayari, Diazscarf (Instagram) atau Diaz (Facebook) bermula pada harga RM39 hingga RM79.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 21 November 2015 @ 5:04 AM