WINGS janjikan konsep persembahan tidak berubah tapi lebih meriah.
Oleh Ridzuan Abdul Rahman
mohamadridzuan@hmetro.com.my


Selepas mencatat kejayaan bermakna dalam Konsert Wings 30 Tahun di Stadium Merdeka, Kuala Lumpur pada 31 Oktober lalu yang dihadiri lebih 25,000 penonton, Wings bakal mengadakan konsert yang sama di Dataran Bandaraya, Johor Bahru pula pada 25 Disember ini.

Kumpulan rock legenda yang dianggotai Awie (penyanyi), Joe (gitar), Eddie (bass) dan Black (dram) ini memilih lokasi terbabit kerana menyasarkan peminat dari Johor dan negara jiran Singapura.

Joe berkata, mengikut perancangan awal konsert berkenaan diadakan pada April tahun depan, tetapi ditukar ke bulan depan berikutan impak positif dalam konsert di Stadium Merdeka, baru-baru ini.

“Kami nak kekalkan momentum di Stadium Merdeka dan sebab itu tarikh dipercepatkan kepada 25 Disember ini.

“Lokasi yang dipilih memang strategik kerana selain warga Johor, kami juga sasarkan peminat Singapura,” katanya pada majlis meraikan media di sebuah hotel terkemuka di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Menurut Joe, Dataran Bandaraya Johor Bahru juga dipilih kerana mereka mahu menampilkan konsep yang sama seperti di Stadium Merdeka.

“Kami anjurkan karnival pada sebelah siang yang akan diisi bakat dari Johor sebelum berlangsungnya konsert Wings pada jam 8.30 malam,” katanya.

Joe berkata, jika di Stadium Merdeka lalu menampilkan banyak penyanyi undangan, tetapi di Johor Bahru mereka hanya meletakkan lima artis sebagai persembahan pembuka iaitu Kristal, Aweera, Azlan & The Typewriter dan Bandi Amuk.

“Ella juga mungkin mengadakan persembahan. Sepatutnya Ella beraksi di Stadium Merdeka lalu, tetapi dia menarik diri kerana persembahan bermula lewat akibat hujan selain terikat dengan persembahan lain pada malam yang sama,” katanya.

Tampil konsep 1980-an

Wings turut melahirkan kegembiraan kerana kejayaan konsert di Stadium Merdeka membuka mata pengeluar produk kecantikan Agetech untuk menaja konsert ini.

“Inilah yang dikatakan rezeki. Konsep persembahan untuk Johor Bahru tak berubah, tapi kami pastikan lebih meriah. Bekas anggota Wings seperti Syam, Jojet, Mus dan Mel juga diundang bersama-sama kami membuat persembahan,” kata Joe.

Menurut Joe, konsert kali ini menampilkan tema 1980-an secara keseluruhannya iaitu era kemuncak Wings.

“Kami nak wujudkan ‘mood’ 1980-an dari segi pemakaian, muzik dan banyak aspek lagi.

“senarai lagu juga akan diubah sedikit di mana kami akan mainkan lagu-lagu popular yang jarang dimainkan sebelum ini. Kami janjikan persembahan terbaik dan diharapkan cuaca juga baik,” katanya.

Mengulas mengenai harga tiket, Joe berkata, mereka sedang memikirkan nilai yang sesuai dan mungkin tidak lebih dari RM100.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 20 November 2015 @ 5:03 AM